SME Venture @ASEAN 2025: Platform Penting Untuk Pengembangan PKS

Kredit: SME Corporation Malaysia
25/09/2025 12:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- SME Venture@ASEAN 2025 akan diadakan dari 16 hingga 18 Okt 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dianjurkan oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), acara yang julung kali diadakan ini telah meraih momentum dengan gelombang kerjasama strategik untuk mengkaji kedudukan serantau serta meningkatkan nilai untuk perniagaan dan pengunjung.

Menurut SME Corp, acara selama tiga hari ini telah berkembang menjadi platform perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dinamik sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun ini, dengan tujuh organisasi utama menyertai inisiatif ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Rizal Nainy

Organisasi utama itu termasuklah agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Tourism Malaysia, dengan rakan strategik utama seperti Malaysia Airlines, Firefly, Pos Malaysia, Perodua, Bubbles O2 dan Media Prima Omnia.

“SME Venture@ASEAN 2025 akan menganjurkan dua forum perkongsian pengetahuan peringkat tinggi, dianjurkan secara bersama dengan rakan-rakan strategik yang akan menyumbang dari segi kredibiliti dan kepakaran kandungan.

“Forum Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dianjurkan secara bersama dengan Institute of Chartered Accountants in England and Wales dan Malaysian Institute of Certified Public Accountants.

“Forum PKS ASEAN dianjurkan bersama Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA),” katanya dalam kenyataan.

Acara itu akan menampilkan lebih 350 peserta pameran tempatan dan antarabangsa, dengan pameran perniagaan kepada perniagaan (B2B) mempamerkan lapan sektor berimpak tinggi – elektrik dan elektronik, dron dan aeroangkasa, minyak dan gas, peranti perubatan, bioteknologi, teknologi halal dan pertanian pintar, mobiliti dan ekonomi hijau.

PKS yang menyertai akan mengambil bahagian dalam 300 sesi padanan perniagaan dengan pembeli, pelabur dan syarikat peneraju dari seluruh rantau melalui GoASEAN Biz Match.

Acara kemuncak ialah Pameran Pasaran ASEAN dengan makanan dan minuman, produk kesihatan, tekstil dan fesyen, kraftangan dan pakej pelancongan yang akan dipamerkan untuk orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata SME Venture@ASEAN 2025 merupakan acara utama PKS untuk ASEAN pada tahun ini.

Beliau menggalakkan PKS Malaysia memanfaatkan platform penting ini dan rangkaiannya pada peringkat serantau untuk mengetengahkan jenama, perkhidmatan dan inovasi mereka sebagai langkah mengembangkan perniagaan.

“Dengan sektor berimpak tinggi yang dipamerkan dan perbincangan perniagaan melalui GoASEAN Biz Match, kami membuka laluan kepada PKS untuk menembusi pasaran baharu dan menawarkan akses kepada usahawan terhadap peluang pasaran B2B dan B2C, sesi pembentangan eksport, forum ESG dan Pameran Pasaran ASEAN, semuanya di bawah satu bumbung.

“Oleh itu, kepada seluruh komuniti perniagaan, jangan lepaskan peluang hebat ini untuk berjaya bukan sahaja pada peringkat serantau, malah pada peringkat global,” katanya.

PKS, usahawan, pemimpin industri dan persatuan perdagangan digalakkan mendaftar sekarang di www.smeventure.com.my dan menjadi sebahagian daripada gerakan serantau yang membentuk masa depan perniagaan di seluruh ASEAN. Masuk adalah percuma untuk pengunjung.

-- BERNAMA