Malaysia Berminat Belajar Daripada Amalan Terbaik EU Bagi Realisasikan Grid Tenaga ASEAN - Fadillah

25/09/2025 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia berminat untuk belajar daripada pengalaman Kesatuan Eropah (EU) dalam mewujudkan grid tenaga seiring dengan langkah ASEAN meningkatkan usaha untuk merealisasikan Grid Tenaga ASEAN (APG), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata EU menawarkan model komprehensif mengenai pertukaran tenaga elektrik rentas sempadan, yang dapat membantu negara anggota ASEAN menjangka dan menangani cabaran kawal selia, kewangan dan teknikal.

“EU telah mempunyai pertukaran tenaga rentas sempadan dan ini penting untuk kita melihat apa yang telah mereka lakukan, masalah yang dihadapi dan langkah untuk menanganinya.

“Dengan sedemikian, akan ada jalan singkat untuk kita,” katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel pada sesi memperkasakan pertumbuhan ekonomi hijau ASEAN pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025 di sini hari ini.

Fadillah berkata Malaysia turut berhasrat untuk mewujudkan bengkel khusus dengan rakan-rakan dari EU untuk mengkaji penyelesaian praktikal bagi ASEAN daripada kawal selia yang selaras kepada rangka kerja pembiayaan.

“Ini adalah perkara yang boleh kita pelajari daripada model kewangan, aspek teknikal, cara mereka menyelaraskan peraturan dan kawal selia serta langkah mereka menangani cabaran dalam pertukaran tenaga elektrik rentas sempadan,” katanya.

Beliau turut yakin kerjasama ASEAN dengan EU dapat membantu memacu kemajuan ke arah grid tenaga serantau yang lebih bersepadu.

Katanya ASEAN telah mempunyai projek perintis perdagangan elektrik rentas sempadan melalui projek integrasi tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS), yang boleh dijadikan asas kepada jaringan yang lebih luas.

“Ia hanya mengenai memperluaskannya dan meneliti perbezaan dari segi piawaian, amalan dan peraturan dalam kalangan negara anggota lain. Dari situ, kita akan mengusahakannya,” katanya.

Fadillah berkata Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan lagi kerjasama serantau mengenai APG akan dimeterai pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN yang akan datang dalam tempoh dua minggu.

“Dengan MoU yang dipertingkatkan, antara bidang yang kami mahu fokus ialah kebolehoperasian, cara untuk menyelaraskan peraturan, kawal selia dan model perdagangan di negara-negara terlibat,” katanya.

Beliau menekankan bahawa penyelarasan rangka kerja tenaga ASEAN dengan amalan terbaik global juga penting untuk menarik pelaburan dan memenuhi permintaan yang meningkat terhadap tenaga boleh baharu, sejajar dengan peralihan rantau ini ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih hijau.

“ASEAN perlu mengambil pendekatan secara kolektif untuk memastikan sistem tenaganya bukan sahaja dipercayai, malah mampan. Grid tenaga yang saling berhubung akan menjadi elemen penting dalam usaha ini,” katanya.

Menurut Fadillah, kerjasama antara ASEAN dan EU juga akan membolehkan Malaysia dan negara jiran mengguna pakai penyelesaian yang terbukti berkesan dan mengelak potensi masalah yang pernah dihadapi pihak lain.

Fadillah merupakan antara lima ahli panel pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025, yang menghimpunkan pemimpin serantau, penggubal dasar dan pemain industri bagi membincangkan laluan ke arah penjanaan pertumbuhan ekonomi hijau ASEAN.

Sesi panel yang bertemakan “Powering ASEAN’s Green Economic Growth”, turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Malaysia Raja Amir, Pengarah Urusan Evonik Thailand Dr Matthias Pascaly, Ketua Serantau Bank Pelaburan Eropah (EIB) bagi Asia Tenggara dan Pasifik Sunita Lukkhoo dan Pengarah Urusan Siemens Energy Malaysia Azli Mohamed.

-- BERNAMA