Lawatan PM Jadi Batu Loncatan Untuk Timor-Leste Sertai ASEAN, Pertingkat Hubungan Dili-Putrajaya
Daripada V. Sankara
DILI (Timur-Leste), 25 Sept (Bernama) -- Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste, yang berakhir semalam, mengulangi sokongan padu Malaysia terhadap aspirasi negara itu untuk menyertai ASEAN dan pada masa sama, membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang kesalinghubungan, ketersambungan digital, perdagangan dan pertukaran sesama rakyat.
Lawatan itu menonjolkan peranan Malaysia sebagai sahabat akrab Timor-Leste sejak negara itu merdeka sekali gus mencerminkan hubungan yang berakar daripada sejarah bermakna dan terus diperkukuh menerusi kerjasama erat selama berdekad-dekad.
Malaysia adalah negara pertama membuka Pejabat Perhubungan di Dili pada April 2001, dan menjadi negara ASEAN pertama yang menubuhkan kedutaan di sini pada 20 Mei 2002 iaitu sehari sebelum Timor-Leste mencapai kemerdekaan.
Sebagai balasan, Timor-Leste membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada Ogos 2002.
Sambutan hangat dan mesra yang diberikan kepada Anwar, termasuk menaiki Moke Mini bagi perjalanan dari lapangan terbang antarabangsa ke pusat bandar bersama Presiden Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão, melambangkan jalinan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.
Di Istana Presiden, Perdana Menteri diberi penghormatan apabila disambut dengan tembakan meriam 19 das sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Ramos-Horta yang disusuli kunjungan hormat ke atas Presiden Timor Leste itu.
Kedua-dua pemimpin turut menyampaikan kenyataan bersama ketika bertemu media yang menekankan hasrat untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama serantau.
Perdana Menteri turut diberi penghormatan istimewa untuk menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Nasional Timor-Leste pada hari kedua lawatan beliau yang mencerminkan kehangatan serta keyakinan yang semakin meningkat dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri menyifatkan Parlimen sebagai "nadi demokrasi" dan menzahirkan sokongan penuh Malaysia terhadap penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN.
“Dengan apa jua cara, saya akan memujuk semua kerajaan dan pemimpin dalam ASEAN serta menggunakan segala sumber yang ada bagi memastikan Timor-Leste diterima sebagai anggota penuh ASEAN... ini adalah komitmen tegas Malaysia,” katanya sambil menegaskan bahawa prinsip keterangkuman dan kelestarian akan menjadi teras Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas sokongan konsisten beliau sepanjang perjuangan Timor-Leste menuntut kemerdekaan serta usaha berterusan negara itu untuk menyertai ASEAN sebagai anggota penuh.
Lawatan bersejarah itu diakhiri dengan Anwar dikurniakan Grand Collar of the Order of Timor-Leste, yang merupakan anugerah awam tertinggi Timor-Leste, di Istana Presiden.
Anugerah itu, yang disampaikan oleh Ramos-Horta, merupakan pengiktirafan terhadap peranan teguh Malaysia dalam menyokong kemerdekaan Timor-Leste serta aspirasi negara berkenaan untuk menyertai ASEAN dan antara penerima terdahulu ialah pemimpin antarabangsa yang memainkan peranan penting dalam memastikan kedaulatan dan pengiktirafan Timor-Leste di peringkat global.
Di peringkat serantau, Malaysia terus menyalurkan bantuan yang signifikan bagi menyokong perjalanan Timor-Leste ke arah keanggotaan penuh dalam ASEAN.
Ini termasuk sumbangan sebanyak USD200,000 bagi penubuhan Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN pada Mei 2025, yang berperanan memantau kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan ke arah Keanggotaan Penuh.
Melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), negara telah memperuntukkan dana sebanyak RM4.1 juta bagi pelaksanaan latihan yang memfokus kepada bidang tadbir urus, diplomasi, perdagangan dan pembangunan mampan dalam konteks ASEAN.
Program Penempatan Khas di Wisma Putra pula telah memberikan pendedahan langsung kepada 13 pegawai Timor-Leste mengenai proses-proses ASEAN.
Selain memacu integrasi ASEAN, lawatan itu turut menghasilkan pencapaian konkrit dalam hubungan dua hala.
Dua memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai masing-masing antara Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Banco Central de Timor-Leste (BCTL), serta antara the Asian Institute of Insurance (AII) dan BCTL yang memfokus kepada pembangunan profesional dan pembinaan kapasiti dalam sektor kewangan dan insurans.
Pendidikan dan pembangunan modal insan turut menjadi fokus utama dan setakat pertengahan tahun 2025, seramai 55 pelajar Timor-Leste sedang melanjutkan pengajian di Malaysia, dengan sokongan MoU mengenai kerjasama dalam Pendidikan Tinggi yang dimeterai pada Jun 2025.
Sejak Timor-Leste merdeka, MTCP telah memberi manfaat kepada 1,179 peserta dari Timor-Leste termasuk 319 yang dilatih pada tahun 2024 sahaja.
Kesalinghubungan turut menjadi tema utama lawatan itu. Penerbangan terus Kuala Lumpur-Dili oleh Batik Air yang bermula pada Jun 2025 serta pengenalan kemasukan tanpa visa selama 30 hari bagi rakyat Malaysia ke Timor-Leste pada Ogos 2025, dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan, perdagangan dan hubungan sesama rakyat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang mengiringi Perdana Menteri, berkata Malaysia akan menjalinkan kerjasama dengan Timor-Leste untuk melaksanakan kemudahan perantauan ASEAN bagi memperkukuh ketersambungan digital menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah disaran mengadakan perbincangan segera dengan syarikat telekomunikasi bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif itu.
“Banyak syarikat telekomunikasi telah mempunyai pelan perantauan namun kita mahukan satu kerangka perantauan ASEAN yang komprehensif.
"Dengan pelaksanaan ini, pelancong Malaysia ke Dili dan pelancong Timor-Leste ke Kuala Lumpur akan dapat menikmati akses Internet yang mampu milik serta lancar,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri turut menyempurnakan pelancaran projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa di Pelabuhan Dili, satu inisiatif mercu tanda yang dijangka meningkatkan keupayaan Timor-Leste untuk menganjurkan persidangan dan acara berskala besar serta bertaraf antarabangsa.
Hubungan perdagangan turut diberi penekanan dengan nilai dagangan dua hala mencecah angka USD6.65 juta (RM26.88 juta) antara Januari dan Julai 2025.
Lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia kini aktif di Timor-Leste terutama dalam sektor makanan dan minuman, hospitaliti, peruncitan serta perkhidmatan automotif.
Sepanjang lawatan itu, Anwar turut berinteraksi dengan diaspora Malaysia di Dili serta alumni MTCP dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) sekali gus menggariskan peranan berterusan negara dalam aspek keselamatan dan pembangunan Timor-Leste.
Majlis makan malam yang dihoskan oleh Ramos-Horta dan Gusmão pula menjadi ruang untuk meraikan nilai-nilai bersama seperti maruah insan, demokrasi dan sikap saling menghormati iaitu prinsip-prinsip yang menurut Anwar menjadi asas kepada hubungan Malaysia dengan Timor-Leste.
Lawatan itu diakhiri dengan penerimaan kenyataan bersama yang mengukuhkan komitmen kedua-dua negara ke arah kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan, pendidikan, pengangkutan, pertahanan dan hubungan sesama rakyat.
Kunjungan Anwar ke Timor-Leste, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara itu sebagai Perdana Menteri, dilihat sebagai langkah penting dalam merintis jalan kepada penyertaan penuh negara berkenaan dalam ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47, satu pencapaian bermakna yang akan melengkapkan jejak geografi ASEAN sekali gus memperkukuh perpaduan serantau.
Bagi Malaysia, lawatan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin ASEAN serta rakan rapat yang boleh dipercayai oleh Timor-Leste manakala bagi Dili, ia melambangkan pencapaian aspirasi sejak sekian lama untuk menyertai keluarga ASEAN sebagai anggota setaraf di peringkat serantau.
-- BERNAMA