Kepengerusian ASEAN Malaysia Tingkat Daya Tarikan Pelaburan, Perkukuh Kesatuan Serantau

Chris Humphrey
26/09/2025 10:29 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini mengukuhkan kesatuan rantau itu di tengah-tengah ketidaktentuan global dan meningkatkan profil negara sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di Asia Tenggara, kata Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN Chris Humphrey.

Beliau berkata kerajaan Malaysia telah melakukan tugas yang cemerlang dalam menarik pelaburan dan memastikan negara menyediakan persekitaran mesra perniagaan dari segi perspektif komuniti perniagaan.

Humphrey memuji usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mempromosikan perdagangan dan pelaburan di tengah-tengah cabaran geopolitik dan geoekonomi global, yang seterusnya menggalakkan perniagaan Eropah memasuki rantau ini.

“Apa yang dilakukan dengan sangat baik oleh Malaysia adalah menggunakan kepengerusiannya untuk mempromosikan diri dan menempatkannya dengan kukuh dalam fikiran orang ramai apabila mereka memikirkan tentang rantau ini.

“Baik menteri dan timbalan menteri di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri merupakan duta hebat bagi negara dan ini benar-benar membantu menempatkan Malaysia di barisan hadapan pemikiran syarikat apabila mereka mempertimbangkan untuk datang ke Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Humphrey berkata demikian di sela-sela Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025 yang diadakan bersama dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-57 dan mesyuarat berkaitan pada minggu ini.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa dengan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) yang akan datang kini berada dalam rundingan yang menjanjikan, perniagaan Eropah bersemangat untuk meneroka lebih jauh ke rantau ini bermula dengan pasaran pesat membangun seperti Malaysia.

“Malaysia sedikit sebanyak berperanan sebagai pintu masuk ke seluruh rantau ASEAN. Selesaikan FTA itu dan anda akan menyaksikan lebih banyak pelaburan Eropah mengalir ke negara ini,” tambahnya.

Beliau juga berkata bahawa asas pertumbuhan ekonomi ASEAN kekal kukuh walaupun menghadapi ketidaktentuan global, menjadikan rantau ini semakin menarik sebagai destinasi pelaburan dan kepelbagaian rantaian bekalan.

Humphrey berkata rakan sehaluan seperti ASEAN dan EU mesti bekerjasama dengan lebih rapat untuk mengukuhkan aliran perdagangan dan pelaburan, terutamanya ketika perniagaan berusaha mengurangkan kelemahan dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

“Syarikat perniagaan sememangnya perlu memikirkan rantaian bekalan mereka sendiri dan mempelbagaikannya. ASEAN menawarkan asas pembuatan yang kukuh, lokasi strategik dan pasaran pengguna yang berkembang — asas-asas ini kekal tidak berubah walaupun menghadapi pergolakan global.

“Apa yang perlu dilakukan oleh setiap negara di rantau ini adalah untuk memanfaatkan kekuatan dan menyokong industri yang ia sangat mahir tentangnya,” kata beliau.

-- BERNAMA