FTA ASEAN-Kanada Dijangka Muktamad Tahun Depan, Berpotensi Pacu Perdagangan, Pelaburan
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Kanada yang masih berterusan bakal dimuktamadkan menjelang tahun depan.
Perjanjian itu dijangka berpotensi memperkukuh hubungan perniagaan dan pelaburan serta menyokong matlamat bersama dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mempelbagaikan perdagangan.
Setiausaha Parlimen kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Setiausaha Negara (Pembangunan Antarabangsa) Kanada Yasir Naqvi berkata berdasarkan model ekonomi sedia ada, perjanjian dengan ASEAN itu diunjurkan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kanada sebanyak US$2.54 bilion dan KDNK ASEAN berjumlah US$6 bilion.
"Pada dasarnya manfaat yang boleh diraih adalah jelas. Kanada bukan sahaja kaya dengan sumber asli dan kepakaran dalam bidang teknologi mesra alam sekitar, kelebihan yang dapat dimanfaatkan oleh rantau ASEAN, malah kami juga menempatkan beberapa pelabur institusi terbesar dunia.
"Justeru itu, FTA ASEAN-Kanada bakal memberi kelebihan kepada Kanada dan kesemua negara anggota ASEAN, seperti melalui pengurangan halangan perdagangan termasuk tarif dan sekatan bukan tarif.
"Di samping itu, ia menyediakan tahap ketelusan dan kepastian yang amat diperlukan oleh para pedagang dan pelabur, serta memperkukuh rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Perundingan AEM-Kanada ke-14, di sini hari ini.
Naqvi, pada masa sama turut memaklumkan Perdana Menteri Kanada Mark Carney dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan sebagai tetamu rasmi Pengerusi ASEAN, dalam usaha mengukuhkan kerjasama ASEAN-Kanada ke tahap lebih tinggi menerusi pelbagai inisiatif konkrit yang bersifat menyeluruh, berwawasan dan inovatif.
Meskipun ia merupakan lawatan pertama Carney ke Asia sejak menyandang jawatan itu, kehadiran beliau dalam Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN itu adalah penyertaan empat tahun berturut-turut Perdana Menteri Kanada, sekali gus mencerminkan komitmen jitu negara itu terhadap rantau ini, seiring dengan Strategi Indo-Pasifik Kanada.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, FTA ASEAN-Kanada yang bakal dimeterai kelak bukan sahaja akan memperkukuh penglibatan Kanada dalam landskap ekonomi ASEAN yang dinamik, malah akan memacu pertumbuhan baharu dalam bidang ekonomi digital, peralihan hijau serta rantaian bekalan yang berdaya tahan.
Ketika ditemui pemberita selepas perundingan itu, Tengku Zafrul berkata kandungan mesyuarat berkenaan membincangkan mengenai perkembangan terakhir perundingan FT ASEAN-Kanada dan persetujuan untuk memuktamadkannya pada hujung 2026.
Ditanya mengenai faktor kelewatan perjanjian itu dimuktamadkan, Tengku Zafrul berkata ini berikutan negara-negara ASEAN mempunyai pandangan yang berbeza-beza.
“Jadi, dengan 10 negara yang mempunyai fokus yang berbeza, tidak begitu mudah (untuk ia dimuktamadkan).
"Pada masa yang sama, kita mahukan FTA yang relevan untuk semua. Oleh itu, ia memerlukan lebih masa, terutamanya untuk negara-negara yang bukan termasuk dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.
-- BERNAMA