Trump, PM Anwar Berhasrat Lihat Perjanjian Perdagangan Malaysia-AS Dimeterai - Tengku Zafrul
Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat menyaksikan pemeteraian perjanjian perdagangan timbal balas antara kedua-dua negara semasa Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini pada akhir Oktober.
Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Trump telah menyampaikan hasrat beliau untuk menyaksikan pemeteraian perjanjian itu kepada Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.
Greer berkongsi mengenai perkara itu kepada Tengku Zafrul semasa mesyuarat dua hala mereka yang diadakan semalam di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.
Perdana Menteri menerusi hantaran di laman sosial rasmi beliau semalam turut berharap supaya rundingan itu dapat dimuktamadkan dan perjanjian dimeterai dalam masa terdekat.
Sambil menegaskan kepentingan strategik untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan timbal balas yang sedang dirundingkan, Anwar berkata rundingan itu akan turut dapat mendorong ketentuan arah tuju dasar serta perancangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Tengku Zafrul dalam temu bual eksklusif di AEM berkata kedua-dua negara telah bersetuju mengenai asas-asas utama dan sedang memuktamadkan perincian perjanjian berkenaan.
“Pagi ini pasukan kami juga sedang berunding dengan pegawai AS. Kami telah bersetuju mengenai perkara-perkara asas yang kami umumkan baru-baru ini. Semua isu telah diselesaikan. Kini adalah masanya untuk menyediakan dokumen perjanjian.
“Oleh itu, kami komited terhadap perkara ini dan kami telah berusaha untuk menyelesaikannya sebelum tarikh akhir.
“Saya telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Greer semalam dan pertemuan dengan beliau sehari sebelumnya, dan kami bersetuju untuk berusaha menyelesaikan segera perincian perjanjian ini,” katanya.
Menurutnya perkara ini penting supaya Malaysia dan AS dapat memuktamadkan dan memeterai perjanjian itu apabila kedua-dua pemimpin bertemu semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual diadakan pada akhir Oktober ini.
Pada 9 September, Anwar mengesahkan Trump akan melawat Malaysia bulan depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober turut menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA