Malaysia Berperanan Penting Kepada Kerjasama Ekonomi ASEAN-India – Jitin Prasada
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia berperanan penting dalam memajukan landasan ekonomi ASEAN-India selain akan menjadi pusat dalam membentuk kerjasama yang berdaya tahan, terhubung dan mampan untuk dekad akan datang, kata Jitin Prasada.
Jitin yang merupakan Menteri Perdagangan dan Industri India berkata kedudukan Malaysia sebagai penyelaras negara bagi agenda ekonomi ASEAN-India, digabungkan dengan pelancaran Majlis Digital Malaysia-India (MIDC) baru-baru ini, menyerlahkan tahap kerjasama dua hala.
Katanya, tahap kerjasama dua hala itu mendalam dalam bidang termaju seperti kecerdasan buatan (AI), infrastruktur awam digital dan ekosistem syarikat pemula niaga.
“Perkongsian Strategik Komprehensif India-Malaysia membuka ruang baharu untuk kerjasama.
“Kami bekerjasama rapat dalam bidang semikonduktor, tenaga boleh baharu dan saling kendali sistem pembayaran sambil terus memperkukuh sektor tradisional seperti pertanian, petroleum, tekstil, elektronik dan barangan kejuruteraan,” kata menteri itu.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-India 2025 di sini hari ini.
Mengenai hubungan ASEAN-India, beliau berkata rantau ini kekal sebagai teras kepada visi Indo-Pasifik India dengan Malaysia memainkan peranan utama dalam menerajui pelbagai inisiatif untuk memperluas perdagangan, pelaburan dan keterhubungan digital.
Jitin berkata ASEAN dan India perlu melihat kepada kerjasama dalam membina rantaian bekalan yang dipercayai bagi sektor elektronik, farmaseutikal, produk pertanian dan penjagaan kesihatan.
Selain itu, katanya, lebih tujuh juta orang berasal dari India yang menetap di negara anggota ASEAN berperanan sebagai jambatan ekonomi dan budaya nasional.
“Kita perlu memperkukuh semula hubungan ini bagi meningkatkan mobiliti kemahiran, pertukaran bakat dan kerjasama dalam inovasi,” katanya.
Beliau berkata ASEAN kini merupakan rakan dagang keempat terbesar India manakala India pula menduduki tangga ketujuh bagi ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala dalam barangan dan perkhidmatan mencapai US$131 bilion pada 2023.
“Kita tahu lebih banyak lagi boleh dicapai. Semakan berterusan terhadap Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) merupakan peluang penting bagi menangani cabaran.
“Golongan perniagaan menegaskan cabaran mengenai tarif, halangan bukan tarif dan akses pasaran,” katanya.
Mengenai keterhubungan digital, Jitin berkata infrastruktur awam bertaraf dunia India seperti Antara Muka Pembayaran Bersepadu (UPI), identiti berasaskan Aadhaar serta kemajuan dalam bidang AI dan keselamatan siber boleh menawarkan platform yang berskala, selamat dan terangkum kepada rakan-rakan ASEAN.
“Selain itu, UPI India sudah pun dihubungkan dengan PayNow Singapura dan kami berhasrat untuk memperluas saling kendali ini di seluruh ASEAN termasuk Malaysia,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Jitin menggesa semua pihak untuk memasukkan satu semakan yang menghasilkan rangka kerja yang seimbang, telus dan bersedia untuk masa depan.
“Ketahanan sebenar bukan hanya terletak pada angka, tetapi juga dalam memastikan rantaian bekalan boleh dipelbagaikan, aliran pelaburan berlaku dua hala dan perusahaan dari semua saiz mendapat peluang yang adil.
“Kerajaan boleh mewujudkan rangka kerja yang menyokong, tetapi ia merupakan visi, ketahanan risiko dan inovasi anda yang akan menjadikan kerjasama ekonomi ASEAN-India kisah penentu bagi Indo-Pasifik,” katanya.
-- BERNAMA