Hubungan ASEAN-CPTPP Perlu Bawa Pembaharuan, Bukan Simbolisme - Pakar
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Dialog formal antara ASEAN serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dijadualkan pada 20 Nov 2025, perlu lebih daripada sekadar perbincangan dan mencapai hasil yang bermakna.
“Pembaharuan konkrit, termasuk penyelarasan standard, daya tahan rantaian bekalan dan pembinaan kapasiti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah penting jika ASEAN kekal sebagai teras dalam orde perdagangan global yang semakin mencabar,” kata Tan Sri Dr Munir Majid.
Pengerusi CARI ASEAN Research and Advocacy itu menyifatkan dialog ASEAN–CPTPP sebagai langkah yang amat baik tetapi mengingatkan bahawa ia perlu membawa kepada keputusan yang memberikan impak dan dapat diterjemah kepada tindakan nyata, bukannya retorik peringkat tinggi.
“Ini termasuk penyelarasan standard seperti peraturan untuk menentukan negara asal suatu produk bagi memudah cara perdagangan dalam platform yang lebih luas.
“Langkah lain ialah memperluas keanggotaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)–CPTPP serta menarik Kesatuan Eropah (EU) untuk menyertai platform perdagangan dan pelaburan yang luas itu,” katanya kepada Bernama.
Munir, yang juga Presiden ASEAN Business Club berkata dialog ASEAN–CPTPP yang akan datang itu perlu dilihat sebagai ujian yang besar terhadap kepusatan ASEAN dalam orde global yang semakin tidak stabil.
Beliau berkata penubuhan pasukan petugas khas oleh para pemimpin ASEAN adalah perlu untuk memastikan matlamat itu dapat dicapai melangkaui kekangan penggiliran kepengerusian ASEAN.
Profesor ekonomi di Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata Malaysia berpeluang meraih manfaat yang besar daripada kerjasama CPTPP yang lebih erat terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, bahan kimia, peranti perubatan, jentera dan sektor pembuatan berasaskan sumber lain.
“Langkah untuk mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif dalam kalangan anggota CPTPP akan meningkatkan permintaan terhadap eksport Malaysia.
“Ini amat penting dalam persekitaran global semasa dengan ketidaktentuan yang meningkat dan ketegangan geopolitik,” katanya.
Yeah berkata penyertaan Malaysia dalam pelbagai blok perdagangan, iaitu CPTPP, RCEP dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang akan datang -- perjanjian komprehensif dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN -- akan memberikan kelebihan daya saing untuk berperanan sebagai hab serantau.
“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pengeluaran dan perdagangan utama serantau serta berperanan sebagai penghubung untuk menggalakkan perdagangan dalam kalangan negara anggota dengan pasaran yang mempunyai akses yang terhad,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata CPTPP boleh menjadi pemangkin kepada perniagaan Malaysia terutamanya PMKS untuk berkembang tetapi hanya jika pelaburan sebenar dibuat dalam pembinaan kapasiti.
“PMKS membentuk 96 peratus daripada perniagaan di negara ini. Ini bermakna literasi kewangan, kemahiran digital dan perancangan perniagaan perlu menjadi kemahiran teras.
“Program capaian yang disasarkan untuk membantu perniagaan memahami dan menggunakan keistimewaan di bawah CPTPP juga penting supaya mereka dapat mengakses pasaran baharu dan memperoleh bahan mentah dengan kos yang lebih jimat,” katanya.
Dialog ASEAN–CPTPP bakal menghimpunkan 10 negara anggota ASEAN dan 12 anggota CPTPP, termasuk empat negara yang merupakan anggota kepada kedua-dua pakatan itu: Malaysia, Singapura, Vietnam dan Brunei.
Dalam perbincangan antara menteri-menteri pada mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 minggu lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ASEAN dan CPTPP akan mengadakan dialog rasmi pada 20 November untuk meninjau bidang kerjasama yang berpotensi.
Beliau berkata dialog rasmi itu akan meliputi beberapa bidang kerjasama yang berpotensi.
-- BERNAMA