AEBF 2025 Bakal Saksi Pelancaran Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN 2026-2030
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 yang akan datang bakal menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030, iaitu pelan tindakan strategik untuk memandu dasar-dasar tenaga serantau.
Pengerusi AEBF Dr Andy Tirta berkata dokumen pelan tindakan itu antara lain akan menggariskan rancangan kerjasama tenaga serantau untuk tempoh lima tahun akan datang, dengan menekankan pembangunan inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG).
“AEBF 2025 akan diadakan serentak dengan mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV hari ini.
Menurut Andy, AEBF 2025 juga akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan mengenai APG, yang bakal menumpukan kepada penyeragaman peraturan dan kawal selia, penyelarasan keperluan teknikal dan mewujudkan model kewangan.
Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Mei melaporkan telah memperuntukkan komitmen sebanyak US$10 bilion (US$1=RM4.19) untuk APG bagi mempercepatkan sambungan rentas sempadan, projek grid nasional dan inisiatif tenaga boleh baharu yang akan memudahkan perdagangan tenaga elektrik.
Pada masa yang sama, Bank Dunia juga memperuntukkan US$2.5 bilion untuk menyokong projek tenaga hijau ASEAN.
Andy berkata AEBF 2025 juga akan menyaksikan perbincangan mendalam mengenai saluran paip gas trans-ASEAN, bersama isu-isu lain yang masih berjalan seperti tenaga boleh baharu, kecekapan dan pemuliharaan tenaga serta potensi tenaga nuklear.
“Kita akan membincangkan hampir semua isu peralihan tenaga sepanjang acara itu dan juga akan menyentuh mengenai tenaga nuklear,” tambahnya.
Bagi memajukan perbincangan mengenai peralihan tenaga dalam kalangan pemimpin perniagaan, Andy berkata Bual Bicara Pemimpin Tenaga ASEAN akan diadakan sepanjang acara itu melibatkan pemimpin-pemimpin institusi swasta dan perniagaan berkaitan tenaga.
“Mereka akan duduk bersama dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan peralihan tenaga dan seterusnya memberikan cadangan daripada perspektif pemain industri untuk perhatian pembuat dasar,” katanya.
AEBF 2025 yang memasuki edisi ke-25, dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bertemakan “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”.
-- BERNAMA