Malaysia Perlu Realistik Harungi Landskap Ekonomi Global Semasa - Tengku Zafrul

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
01/10/2025 11:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu realistik dalam mengharungi landskap ekonomi global semasa memandangkan kedudukannya sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka selain memiliki hubungan kukuh dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melebihi 200 peratus dengan China sebagai rakan dagang terbesar negara manakala AS sebagai pasaran eksport terbesar.

“AS juga merupakan pelabur terbesar di Malaysia dalam tempoh lima tahun lepas diikuti China. Kedua-dua ekonomi ini merangkumi 45 peratus daripada KDNK dunia dan anda tidak boleh mengabaikan kedua-duanya,” katanya dalam satu klip yang dikongsi di X hari ini.

Tengku Zafrul menekankan Malaysia mesti terus berhubung dengan kedua-dua kuasa berkenaan sambil mengekalkan prinsip multilateralisme dan pemusatan ASEAN.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia baru-baru ini menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk AS, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

“Malaysia percaya kepada pendekatan yang melibatkan semua pihak, namun setiap keputusan mesti berlandaskan prinsip kita sendiri.

“Konsistensi dalam dasar perdagangan, pelaburan dan hubungan luar memudahkan rakan-rakan kita memahami pendirian Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA