Kerjasama Kukuh, Pembaharuan Dasar Penting Untuk Pastikan Perkhidmatan Awam ASEAN Kekal Relevan - KPPA
PETALING JAYA, 7 Okt (Bernama) -- Kerjasama rentas negara yang lebih kukuh dan pembaharuan dasar amat penting bagi memastikan perkhidmatan awam ASEAN kekal relevan dan berkesan di tengah-tengah ketidaktentuan global, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata tiada mana-mana negara mampu mencapai kemajuan bersendirian kerana dunia kini berdepan pelbagai cabaran merentasi sempadan seperti perubahan iklim, ketegangan geopolitik, gangguan teknologi serta krisis kesihatan global.
“Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu bersedia untuk mengkaji semula tadbir urus, menjalin kerjasama dan mencipta inovasi dalam mencari penyelesaian. Masa depan perkhidmatan awam ASEAN bergantung kepada kerjasama, pembaharuan dasar serta melahirkan pemimpin yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Penting bagi ASEAN untuk memperkukuh strategi dalam membangunkan tenaga kerja yang berdaya tahan dan tangkas. Dengan menggabungkan bakat, matlamat dan keupayaan digital, kita mampu terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan profesionalisme, integriti dan penuh keprihatinan, walaupun menghadapi gangguan besar,” katanya berucap pada penutup Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan di sini hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata penjawat awam adalah tulang belakang institusi negara, justeru nilai, kemahiran serta dedikasi mereka akan menjadi penentu kejayaan dalam usaha membina perkhidmatan awam yang bersedia menghadapi masa depan.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha berterusan dalam pembangunan kapasiti, pembangunan kemahiran masa depan serta melahirkan pemimpin yang beretika, berempati dan berpegang kepada nilai.
Wan Ahmad Dahlan berkata teknologi, sekiranya dimanfaatkan dengan bijak mampu menjadi pemangkin utama transformasi, dengan pendigitalan memacu perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan inklusif di seluruh rantau ini.
Beliau berkata persidangan sehari itu mencapai banyak kemajuan khususnya dalam lima bidang utama iaitu meningkatkan kompetensi dan standard tenaga kerja sektor awam, membina kapasiti institusi, kepimpinan transformatif, memperkukuh ASEAN Resource Centre serta reformasi dan pemodenan sektor awam.
“Setiap negara bentangkan pendekatan yang digunakan dalam perkhidmatan awam mereka yang boleh digunakan di Malaysia. Mereka juga banyak belajar daripada Malaysia berkaitan dengan bagaimana kita meletakkan AI (kecerdasan buatan) dan digital sebagai fokus utama negara pada masa hadapan.
“Persefahaman antara anggota ASEAN ini sebenarnya merupakan satu kesepakatan yang sangat utuh dengan kita saling melengkapi. Bukannya kita saling melihat kelemahan, tetapi kita belajar daripada kelebihan masing-masing untuk kita terjemahkan dalam perkhidmatan awam negara masing-masing,” katanya kepada pemberita.
Wan Ahmad Dahlan turut mengesahkan para delegasi bersetuju untuk menerima Deklarasi Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan, yang akan diserahkan kepada Kumpulan Kerja Teknikal untuk pelaksanaan.
-- BERNAMA