Selangor Mampu Tingkat Pulangan Pelaburan, Perkukuh Sumbangan KDNK - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Selangor mampu meningkatkan pulangan pelaburan daripada asetnya dan terus kekal menjadi penyumbang utama (26 peratus) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata aset utama Selangor yang terdiri daripada Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hinggalah ke taman perindustrian, hab semikonduktor dan taman aeroangkasanya merupakan bukti kekuatan utama negeri itu yang boleh membantu pelabur memanfaatkan pertumbuhan industri bernilai tinggi dipacu inovasi.
“Pendek kata, Selangor bukan hanya sekadar pusat perindustrian Malaysia, negeri itu juga boleh menjadi papan loncatan kepada pelabur untuk meneroka rantau ASEAN.
“Dengan infrastruktur bertaraf dunia, keupayaan rantaian bekalan yang kukuh dan ekosistem perniagaan yang dinamik, Selangor membantu meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk eksport dan pelaburan utama ke rantau ini,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian menerusi ucaptama pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2025 ke-9, di sini, hari ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 dalam masa dua minggu lagi yang bakal disertai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang dan Perdana Menteri India Narendra Modi.
Ini sekali gus menonjolkan peranan semakin meluas ASEAN sebagai pengimbang kuasa pertengahan.
Tengku Zafrul berkata MITI berbangga membantu membentuk agenda ekonomi ASEAN dan mengukuhkan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
Melalui dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Kebangsaan dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS), Malaysia telah memperkukuh ekosistem perindustriannya bagi memastikan negara terus kekal meneraju dan berupaya mengharungi kejutan global.
“Ini jelas dapat dilihat menerusi pertumbuhan stabil yang dicatatkan Malaysia sejak dua tahun lalu — 5.1 peratus pada 2024 dan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025.
“Walaupun unjuran pertumbuhan tahun penuh 2025 telah disemak sedikit turun kepada antara 4.0 dan 4.8 peratus disebabkan ketidaktentuan tarif, pelaburan yang meningkat menunjukkan keyakinan pelabur masih kekal mampan dan kukuh,” katanya.
Tengku Zafrul berkata MITI telah meletakkan asas dasar yang kukuh sejak Disember 2022 untuk meneguhkan asas perindustrian negara.
“Saya percaya lebih sengit ketegangan geopolitik, lebih cepat kita mesti bertindak untuk melaksanakan pembaharuan, mengukuhkan rantaian bekalan kita.
“Justeru, Selangor dengan pelabuhan strategiknya, lapangan terbang bertaraf dunia, dan kluster industri yang rancak – merupakan rakan strategik utama dalam meneraju perubahan yang disasarkan oleh dasar perindustrian kita,” katanya.
Menurutnya, Selangor juga memainkan peranan penting dalam penyampaian keutamaan ASEAN lain yang Malaysia telah membangunkan kelebihan industri, seperti kenderaan elektrik dan semikonduktor.
Tengku Zafrul berkata menerusi akses pasaran ASEAN yang diperluas melalui perkongsian, seperti dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan mengukuhkan rantaian bekalan serantau, Malaysia meningkatkan eksport intra-ASEAN serta membuka ruang kepada perniagaan untuk berkembang merentas sempadan.
MITI juga menumpukan kepada bakat industri, pendigitalan dan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus, tonggak pendekatan holistik kepada ekonomi Malaysia.
Pelaburan kementerian itu dalam pembangunan kemahiran melengkapkan sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik serta pembuatan termaju.
“Selangor, yang memiliki kumpulan besar bakat yang disokong oleh universiti dan institut teknikal terkemuka, sekali lagi menjadi rakan strategik penting bagi mencapai sasaran ini, selain menjadi penerima manfaat utama daripadanya,” katanya.
-- BERNAMA