Menteri Kewangan Indonesia Tekan Hubungan Erat, Lawak “Musang King”

08/10/2025 03:41 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 8 Okt (Bernama) -- Menteri Kewangan Indonesia Purbaya Yudhi Sadewa menceriakan suasana sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 dan Hari Malaysia ke-62 dengan sentuhan “diplomasi durian”, sambil memuji pencapaian Malaysia serta berseloroh mengenai ketiadaan durian Musang King yang terkenal pada majlis tersebut.

Majlis resepsi anjuran Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin di Jakarta Selatan pada Selasa malam itu dihadiri lebih 1,200 tetamu termasuk menteri, pegawai kanan kerajaan, ahli politik, diplomat, tokoh korporat, pelajar dan wakil media.

Dalam ucapannya, Purbaya menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia, sambil menyifatkan negara itu sebagai “Saudara Serumpun” yang menggambarkan hubungan sejarah dan budaya yang mendalam antara kedua-dua negara jiran. 

“Hari ini kita meraikan perjalanan Malaysia dalam perpaduan, kemajuan dan pembinaan negara bangsa yang telah membentuk sebuah negara yang dinamik dan makmur,” katanya.

Purbaya berkata kedua-dua negara telah bekerjasama rapat sejak penubuhan ASEAN dan terus memperkukuh kerjasama di peringkat serantau serta global.

Beliau turut menekankan hubungan mesra antara Presiden Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bertemu sekurang-kurangnya enam kali tahun ini di Jakarta dan Kuala Lumpur, mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala.

“Kita terus mencapai kemajuan dalam bidang utama seperti dialog politik, pengurusan sempadan maritim dan darat, serta kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan,” katanya.

Purbaya berkata Malaysia kekal antara rakan dagangan utama Indonesia, dengan pelaburan Malaysia berjumlah US$4.2 bilion tahun lalu dan aliran berterusan pelancong dari Malaysia.

Dalam sektor kewangan, beliau berkata kerjasama semakin berkembang melalui inisiatif seperti pengukuhan kerjasama kewangan patuh syariah, penyelarasan antara Bank Eksport-Import Indonesia dan Bank Eksport-Import Malaysia bagi meningkatkan perdagangan, serta sokongan terhadap Dana Infrastruktur ASEAN untuk memajukan pembiayaan infrastruktur hijau.

Beliau menambah bahawa pelaksanaan sistem pembayaran rentas sempadan menggunakan kod tindak balas pantas (QR) menandakan satu lagi pencapaian penting dalam integrasi kewangan serantau.

“Di luar bidang ekonomi, kerjasama kita akan diperluas kepada kesihatan, pendidikan serta hubungan antara rakyat yang lebih kukuh, elemen penting dalam membina persahabatan berkekalan antara negara kita.

“Ketika kita melangkah ke hadapan, marilah kita terus memperkukuh perpaduan dan visi bersama. Bersama-sama, Indonesia dan Malaysia mampu membina rantau yang lebih aman dan makmur, tempat rakyat kita hidup, berkembang dan maju seiring,” katanya.

Dalam nada bersahaja, Purbaya yang gemar menikmati durian Musang King setiap kali berkunjung ke Malaysia, mencuit hati hadirin apabila berseloroh mengenai ketiadaan buah itu di majlis berkenaan.

“Saya datang bukan sahaja untuk meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, tetapi juga untuk menikmati durian Musang King yang lazat. Saya lihat menu tadi... kenapa tiada Musang King?” katanya sambil disambut gelak ketawa tetamu.

Menjawab secara berseloroh selepas majlis itu, Syed Mohamad Hasrin berkata: “Malangnya, kali ini kami tidak menyajikan Musang King. Tetapi, Insya-Allah, kami akan tunaikan permintaannya.”

-- BERNAMA