Lebih Banyak Berita Baik Untuk JS-SEZ Akan Diumum Minggu Depan– Tengku Zafrul

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
09/10/2025 12:18 AM

SINGAPURA, 8 Okt (Bernama) -- Lebih banyak berita baik dijangka diumumkan minggu depan mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Beliau berkata, ia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekalkan momentum dalam menarik pelabur ke kawasan berkenaan.

Merujuk kepada insentif tambahan, Tengku Zafrul berkata pengumuman itu akan dibuat pada sebuah persidangan di Singapura yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) serta Kerajaan negeri Johor.

“Akan ada beberapa berita baik yang akan kami kongsikan. Kita perlu tunggu sehingga hari Selasa (14 Okt),” katanya sewaktu sesi perbincangan santai di Asia Future Summit yang dikendalikan oleh editor The Business Times, Chen Huifen, di sini malam ini.

Tengku Zafrul berkata terdapat sinergi yang ketara di antara Singapura dengan Malaysia, khususnya Johor dan  matlamat utama JS-SEZ iaitu untuk menarik pelabur serta syarikat multinasional utama dari seluruh dunia.

Beliau menegaskan Malaysia dan Singapura perlu kekal kukuh dari segi ekonomi dan stabil dari segi politik bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan.

“Lebih baik menjadi rakan daripada menjadi musuh, lebih baik kita bekerjasama. Kita buktikan kita mampu dan saya berharap JS-SEZ menjadi contoh bagaimana dua negara boleh bekerjasama,” katanya ketika ditanya mengenai hubungan ideal antara kedua-dua negara.

Tengku Zafrul berkata untuk terus memacu kejayaan bersama, kedua-dua negara jiran perlu terus memanfaatkan kekuatan masing-masing dan saling melengkapi dalam sektor seperti pembuatan.

Sementara itu, mengenai ASEAN, beliau berkata penting untuk mengekalkan pemusatan dan keneutralan rantau ini dalam dunia yang semakin berpecah-belah selain multilateralisme mesti terus dipertahankan.

“Di sinilah, bagi Malaysia dan bagi ASEAN, kita perlu memastikan kita mengurus dua kuasa besar ini (China dan Amerika Syarikat) dengan baik. Kita perlu menunjukkan tindakan kita berlandaskan prinsip,” katanya sambil menekankan keperluan untuk berinteraksi secara adil dengan semua pihak.

Tengku Zafrul menambah, pada Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang di Kuala Lumpur, para pemimpin serantau dijangka menandatangani Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA)  yang dinaik taraf dan ia akan meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Beliau juga menyatakan optimisme iaitu satu penyelesaian yang ketara akan dicapai mengenai Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang bertujuan meningkatkan perdagangan dalam kalangan ASEAN, terutamanya melalui penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengenai landskap pelaburan Malaysia, Tengku Zafrul berkata kementeriannya berhasrat untuk mengurangkan halangan birokrasi iaitu satu cabaran berterusan yang menghalang negara daripada menjadi destinasi pelaburan utama ASEAN.

Beliau berkata inisiatif seperti Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) boleh membantu memendekkan tempoh kelulusan bagi para pelabur manakala teknologi seperti kecerdasan buatan boleh digunakan untuk mempermudah proses.

“Syukurlah, dengan kemajuan teknologi, kita kini dapat melakukan perkara dengan lebih baik dan selamat. Kita mesti memastikan rakyat kita bersedia untuk menerima cara baharu ini yang mencerminkan jangkaan pelabur yang sentiasa berubah,” tambah beliau.

-- BERNAMA