Mesyuarat Majlis ASCC Menekankan Kerjasama Budaya, Pertumbuhan Ekonomi Inklusif Di ASEAN

08/10/2025 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-34 hari ini menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama budaya, mempromosikan peluang ekonomi yang mampan dan inklusif serta penghargaan mendalam terhadap warisan bersama ASEAN sebagai pemacu utama dalam pembinaan komuniti dan solidariti serantau.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat itu turut menegaskan semula komitmen bersama untuk memajukan visi ASCC ke arah ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

“Mesyuarat turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan merealisasikan keutamaan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan ‘Inklusiviti dan Kelestarian’, yang menekankan komitmen ASEAN untuk mempertingkat serta memperkukuh usaha memastikan pembangunan dan kemajuan yang inklusif serta mampan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

MOTAC memaklumkan mesyuarat turut mengambil maklum tentang inisiatif Malaysia yang terus memperkukuh perpaduan dan identiti budaya, sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI iaitu Kelestarian, Kesejahteraan dan Ihsan, Hormat, Inovasi, Kemakmuran dan Kepercayaan.

Sementara itu, Majlis ASCC menzahirkan sokongan terhadap lima keutamaan di bawah pengerusi Malaysia iaitu Warisan Budaya untuk Penciptaan Nilai; Kecerdasan Buatan, Pendigitalan dan Pekerjaan Hijau ke arah Kemahiran dan Bakat Masa Depan ASEAN; Inisiatif ASEAN Sihat ke arah ASEAN Makmur; Potensi Belia dan Sukan untuk Semua bagi Memupuk Pertumbuhan, Perpaduan dan Kecemerlangan serta Tindakan Iklim untuk Penjagaan, Perkongsian dan Pemilikan Bersama.

Mesyuarat itu juga mengambil maklum beberapa inisiatif rentas tonggak dan rentas sektor di bawah ASCC, termasuk Penamatan Buruh Kanak-Kanak, Promosi dan Perlindungan Hak Pekerja Migran serta Pelan Tindakan Serantau ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan.

Ia turut menyatakan Tinjauan Pembangunan ASEAN Jilid 2: Rangka Kerja Komprehensif ASEAN mengenai Ekonomi Penjagaan, Pelan Tindakan Bersama ASEAN One Health dan Rangkaian ASEAN One Health serta Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Asia Tenggara.

Inisiatif lain termasuk Rangka Kerja Kemampanan Ekonomi Kreatif ASEAN, Program Platform Penyelidikan dan Pembangunan ASCC serta Buku Panduan Strategi bagi Mempromosikan Komuniti ASEAN yang Mudah Suai ke arah Pemahaman, Toleransi dan Kesedaran Serantau yang Lebih Mendalam dalam kalangan Rakyat ASEAN.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan dihadiri oleh semua negara anggota ASEAN, sekretariat ASEAN serta Timor-Leste sebagai pemerhati.

-- BERNAMA