Kubah Flora Fauna Sambut Pemimpin Dunia Ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

KUALA LUMPUR 13 Okt -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Ketua Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA), Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin (kiri), ketika meninjau persiapan logistik bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
13/10/2025 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kubah baharu yang dihiasi dengan pelbagai jenis flora dan fauna di pintu utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bakal menyambut ketibaan para pemimpin dan delegasi dunia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini. 

Kubah setinggi 10 meter dengan diameter 20 meter yang diinspirasikan oleh seni bina kontemporari Malaysia itu bakal mengalu-alukan pemimpin dunia dan serantau yang akan “berkampung” di Kuala Lumpur bagi membincangkan pelbagai isu utama rantau ini.

Selain itu, ketua-ketua negara yang menghadiri persidangan kali ini turut berpeluang menelusuri ASEAN Legacy Tunnel  dan River of Progress yang memaparkan detik-detik perkembangan ASEAN sejak penubuhannya pada 1967.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penerangan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Ketua Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 (SILA) Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata  kombinasi penggunaan 80 buah panel LED yang memancarkan visual air terjun merupakan satu lagi tarikan persidangan kali ini. 

“Konsep interaktif itu menampilkan pendekatan moden yang menggabungkan unsur teknologi moden dan warisan serantau, sekali gus membawa pengunjung menyusuri evolusi ASEAN sejak penubuhannya pada 1967 hingga kini.

“Kita mahu menunjukkan bagaimana ASEAN bermula daripada penubuhannya, melalui pelbagai era dan cabaran. 

“Konsep moden ini bukan sahaja menjimatkan masa dan ruang, tetapi membolehkan kandungan LED diganti setiap hari bagi menunjukkan bagaimana ASEAN terus berkembang sehingga Malaysia menjadi Pengerusi pada 2025,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan logistik di KLCC, di sini hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Kuala Lumpur, dijangka menjadi penganjuran terbesar dalam sejarahnya sejak kali pertama diadakan pada tahun 1976.

-- BERNAMA