Penghantaran Pemerhati Ke Pilihan Raya Myanmar Akan Diputuskan ASEAN - Mohamad

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan
13/10/2025 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) --  Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa negara anggota ASEAN akan  memutuskan pendirian blok itu berhubung rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya serta jemputannya kepada negara anggota bagi menghantar pemerhati pilihan raya. 

Beliau menegaskan bahawa perkara itu  tidak akan diputuskan oleh satu-satu negara.

“Kita tidak akan memutuskan secara sendirian, ini adalah ASEAN. 

“Perkara ini  kita akan bawa ke Mesyuarat  Menteri-Menteri Luar ASEAN dahulu untuk kita putuskan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin ketika menjawab soalan sama ada Malaysia  akan menghantar delegasi pemerhati di pilihan raya itu kelak.

Pada  9 Okt,   Mohamad menegaskan   bahawa Myanmar perlu melaksanakan pilihan raya akan datang secara bebas, adil, telus dan berwibawa dengan penyertaan semua parti politik dan pihak berkepentingan di seluruh negara.

Beliau menyampaikan pendirian itu dalam pertemuan beliau dengan Pengerusi Suruhanjaya  Keamanan dan Keselamatan Negara (SSPC) merangkap Pemangku Presiden Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Perdana Menteri merangkap Menteri Perancangan Nasional U Nyo Saw, serta Menteri Luar U Than Swe semasa lawatan kerjanya ke Nay Pyi Taw. 

Myanmar berdepan krisis politik dan kemanusiaan yang berpanjangan sejak tentera menggulingkan kerajaan sah yang dipilih secara demokratik, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), pada 1 Feb, 2021.

-- BERNAMA