Peralihan Tenaga ASEAN Bukan Lagi Sekadar Aspirasi, Jadi Keperluan Kompetitif - UEM Group
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perjalanan ke arah peralihan tenaga dan tenaga boleh baharu (TBB) di rantau ASEAN bukan lagi sekadar aspirasi, malah satu keperluan yang kompetitif, kata Pengarah Urusan UEM Group Bhd Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Beliau berkata tiada syarikat, sektor atau negara dapat mencapai matlamat tersebut secara bersendirian dan kerjasama yang diterajui perniagaan, disokong oleh dasar yang kukuh dan infrastruktur yang berdaya tahan, perlu memacu peralihan daripada aspirasi kepada tindakan.
Katanya setakat ini, pembeli korporat telah menyumbang kepada pelaksanaan lebih 3.3 gigawat kapasiti TBB baharu di ASEAN melalui perjanjian pembelian tenaga, dengan penggunaan tenaga pusat data di Asia Tenggara diunjurkan meningkat empat kali ganda menjelang 2030.
“Persoalan penting sekarang ialah sama ada bekalan dapat meningkatkan kapasiti dengan cepat untuk memenuhi permintaan yang meningkat ini,” katanya dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 (AEBF 2025) di sini hari ini.
Amran berkata untuk memenuhi permintaan korporat yang meningkat, rantau ini perlu mempercepat penyahkarbonan dan membina pasaran tenaga serantau yang lancar.
“ASEAN perlu mengiktiraf bahawa kepimpinan korporat dan tindakan kerajaan (adalah) dua sisi mata wang yang sama yang mesti bekerjasama untuk menangani keperluan segera dan jangka panjang,” katanya.
Amran, yang juga Pengerusi UEM Lestra Bhd berkata terdapat keperluan untuk sistem penghantaran yang baik dan pengedaran yang fleksibel membolehkan kadar penembusan TBB tinggi dan keseimbangan grid melalui sambungan rentas sempadan dan perdagangan tenaga untuk mengoptimumkan sumber dan kebolehpercayaan.
“Grid yang berdaya tahan menjadi pemangkin utama, membuka potensi tenaga solar, angin, hidro berskala utiliti dan sumber fleksibel baharu,” katanya.
“Antara bidang kritikal untuk menggunakan lebih banyak sistem TBB berskala besar ialah meningkatkan pelaburan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya berdasarkan kapasiti fiskal negara yang terhad dan impak daripada pandemik COVID-19 serta krisis global lain, terdapat keperluan mendesak untuk menarik penyertaan sektor swasta.
Beliau berkata perkongsian awam-swasta yang distruktur dengan baik dapat menyelaraskan hasil awam jangka panjang dengan inovasi dan kecekapan swasta.
“Keperluan kepada peralihan tenaga bersih memerlukan kepimpinan baharu apabila sektor perniagaan memainkan peranan utama sebagai pencipta bersama dalam perubahan sistemik,” katanya.
-- BERNAMA