TalentCorp Laksana Kajian Enam Bulan Nilai Kesan Pelaksanaan Kerja Fleksibel - Steven Sim
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sedang melaksanakan kajian selama enam bulan bagi menilai kesan pelaksanaan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) terhadap pasaran kerja tempatan, yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kajian yang dijalankan di tiga kawasan bandar utama iaitu Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor, bertujuan menyediakan hasil kajian berasaskan data mengenai bagaimana FWA memberi kesan terhadap produktiviti, keuntungan dan kesejahteraan pekerja di Malaysia.
“Kita telah melihat laporan positif mengenai pelaksanaan persekitaran kerja fleksibel di negara lain, tetapi bagaimana pula dengan Malaysia? Ada yang berpendapat budaya kerja kita berbeza, kononnya rakyat kita kurang rajin. tetapi kita tidak tahu.
“Jadi, kita ambil pendekatan untuk menjalankan kajian selama enam bulan ini, dan saya berharap dapatan kajian dapat diterbitkan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan kerana hampir sejuta pekerja telah menerima manfaat daripada pelaksanaan FWA,” katanya ketika berucap pada Persidangan Life At Work Awards (LAWA) 2025 di sini hari ini.
Sim berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih progresif dan inklusif, dengan TalentCorp memainkan peranan utama dalam aspek advokasi dasar dan pelaksanaannya.
Mengulas usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, Sim berkata ketika beliau mula memegang jawatan hampir setahun lalu, beliau dimaklumkan mengenai insentif cukai kepada wanita yang kembali bekerja selepas berhenti sementara, namun kadar penyertaan adalah sangat rendah.
Beliau berkata kekurangan insentif kepada majikan merupakan antara faktor utama, sekali gus mendorong kerajaan untuk memperluaskan pelepasan cukai kepada syarikat melalui Belanjawan 2025.
“Saya tanya, apa masalahnya? Oleh kerana TalentCorp merupakan agensi yang meluluskan permohonan insentif cukai bagi wanita yang kembali bekerja, mereka tahu apa yang berlaku di lapangan.
“Kerajaan boleh menggubal dasar dan insentif yang baik, tetapi jika kita tidak memahami realiti di lapangan, semua itu tidak akan berkesan. Jadi tahun lalu, kita putuskan untuk melanjutkan insentif cukai itu kepada majikan sebagai galakan tambahan untuk mengambil semula pekerja wanita,” katanya.
Di bawah Belanjawan 2025, syarikat layak menikmati pelepasan cukai sekiranya mereka mengambil semula wanita yang kembali bekerja, melaksanakan FWA, atau melabur dalam peralatan dan sistem yang menyokong persekitaran kerja fleksibel.
Sementara itu, Sim turut menggesa majikan supaya menawarkan FWA kepada pekerja masing-masing sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, yang dijangka menyebabkan kesesakan lalu lintas serta ada jalan yang dilencongkan melibatkan beberapa laluan utama sekitar bandar raya.
Semalam, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pekerja boleh memohon FWA di bawah Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955 bagi menyesuaikan waktu, hari atau lokasi bekerja, termasuk sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN, tertakluk kepada keperluan operasi majikan.
Menurut KESUMA, pekerja sektor swasta boleh memohon pengaturan sedemikian sekiranya sesuai, dengan memastikan fleksibiliti tidak menjejaskan produktiviti atau operasi syarikat.
-- BERNAMA