AMEM Tunjang Utama Dalam Membentuk Landskap Tenaga ASEAN
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama tenaga serantau, menyaksikan negara-negara anggota dijangka meluluskan rangka kerja yang bakal membentuk landskap tenaga badan serantau itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata mesyuarat itu menumpukan kepada tindakan, pendidikan dan pelaksanaan dasar bagi memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan rantau itu kepada sumber tenaga lebih bersih dan mampan.
“AMEM kali ini bukan sekadar penutup untuk pelan kerja semasa, tetapi turut melakar hala tuju bersama bagi landskap tenaga lima tahun akan datang.
“Kita akan melaksanakan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah Kepengerusian Malaysia dan apa yang penting adalah untuk mempercepat peralihan tenaga ASEAN dan meningkatkan keselamatan tenaga,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan AMEM ke-43 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Fadillah berkata pada mesyuarat itu empat hasil utama dijangka dicapai, termasuk pelancaran rasmi fasa kedua Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2030, iaitu hala tuju sebagai panduan kerjasama serantau ke arah sistem tenaga yang lebih bersih, berdaya tahan dan bersepadu.
Beliau berkata para menteri turut akan menyaksikan pertukaran rasmi dokumen bagi Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat mengenai Grid Kuasa ASEAN (APG), satu langkah penting dalam memajukan perdagangan tenaga elektrik pelbagai hala dan sambungan grid rentas sempadan.
Untuk memperkukuh daya tahan serantau terhadap gangguan bekalan global, Fadillah berkata para menteri akan memuktamadkan ASEAN Framework Agreement on Petroleum Security (AFAPS) melalui pertukaran dokumen bagi memastikan kesiapsiagaan dan kerjasama dalam mengekalkan kestabilan bekalan petroleum.
“Kita juga akan mengumumkan Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF), satu mekanisme yang direka untuk menarik serta menyelaras pelaburan infrastruktur yang diperlukan bagi projek APG,” katanya.
Fadillah berkata turut akan dibincangkan ialah rangka kerja strategik utama yang disyorkan oleh Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga (SOME) yang akan menjadi pelan induk bagi kerjasama jangka panjang ASEAN.
Antara yang akan dibincangkan termasuk Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu, Pangkalan Data Kecekapan ASEAN dan Platform Pelaburan (Bangunan), serta Terma Rujukan (ToR) bagi Kabel Kuasa Dasar Laut, selain menerima laporan kemajuan mengenai ASEAN Nuclear Power Plant (NPP) dan Rangka Kerja Sijil Tenaga Boleh Baharu ASEAN (REC).
“Platform itu mustahak bagi menggerakkan pelaburan, teknologi dan kerjasama dasar yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat kita bersama. Keputusan yang dibuat di sini akan memberi kesan kepada ekonomi dan secara langsung mempengaruhi kehidupan lebih 670 juta rakyat ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA