Malaysia Seru Penubuhan Gerakan PKS Satu ASEAN Pacu Pertumbuhan Serantau

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri) menyempurnakan gimik perasmian SME Venture@ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (tiga, kiri).
16/10/2025 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia hari ini menyeru penubuhan Gerakan PKS Satu ASEAN bagi memperkukuh kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau serta memacu pertumbuhan ekonomi inklusif.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu boleh menjadi pemangkin untuk menghubungkan usahawan, pelabur dan inovator di seluruh ASEAN, khususnya dalam sektor baharu yang sedang pesat berkembang seperti teknologi berimpak tinggi, perdagangan halal dan perkhidmatan digital.

“Semoga gerakan ini menjadi nadi ekonomi serantau, pemangkin memperkasakan rakyat, memperkukuh daya tahan dan memacu ASEAN ke tahap pertumbuhan seterusnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian SME Venture @ ASEAN 2025 di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan) melawat reruai pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SME Venture@ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (tiga, kiri) dan timbalannya, Datuk Seri R. Ramanan (kanan). -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ahmad Zahid berkata ASEAN yang mempunyai pasaran dinamik dengan 680 juta penduduk menawarkan potensi besar kepada lebih 70 juta PKS di seluruh rantau ini.

Meskipun menjadi tunjang ekonomi ASEAN dengan menyumbang 44.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau dan 85 peratus kepada jumlah guna tenaga, PKS hanya menyumbang 18 peratus kepada jumlah eksport ASEAN setakat ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata platform seperti SME Venture@ASEAN 2025 menjadi laluan  kepada usahawan untuk menembusi pasaran ASEAN dan mengintegrasi secara lebih bermakna dalam rantaian nilai global serta rangka kerja perdagangan serantau.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata acara berkenaan menandakan kesediaan Malaysia untuk menerajui peranan sebagai negara teras dalam ekosistem perniagaan dan perdagangan ASEAN, terutama ketika arus transformasi masa kini menuntut ketangkasan, berpandangan jauh dan keberanian.

Beliau berkata pada peringkat nasional kerajaan kekal komited untuk mendorong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke tahap lebeih cemerlang dan mempunyai daya saing lebih tinggi melalui Kerangka Ekonomi MADANI dan Dasar Keusahawan Nasional 2030. 

Matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan peratusan perusahaan bersaiz sederhana daripada 1.6 peratus pada 2024 kepada 5 peratus menjelang 2030, melalui pengembangan perniagaan dan sokongan terhadap usaha pengantarabangsaan.

“Satu daripada strategi utama untuk merealisasikan aspirasi ini ialah menggalakkan lebih banyak PKS menembusi pasaran luar bagi memperluas pasaran, meneroka kerjasama baharu serta membuka peluang pertumbuhan. Ini bermakna pengantarabangsaan perlu menjadi fasa baharu bagi PKS Malaysia,” katanya.

Program SME Venture @ ASEAN 2025 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta SME Corporation Malaysia menarik penyertaan daripada 18 negara termasuk semua negara anggota ASEAN.

Acara itu bertujuan meningkatkan eksport PKS Malaysia, khususnya dalam rantau ASEAN dengan menghimpunkan pihak berkepentingan utama, mempamerkan keupayaan perniagaan, menawarkan peluang padanan perniagaan serta menggalakkan jaringan dan kerjasama perdagangan.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan timbalannya Datuk Seri R. Ramanan.

-- BERNAMA