Malaysia Berhasrat Jadi Hab Serantau Bagi Teknologi Dan Inovasi Sukan - Ahmad Zahid
SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat menjadi hab serantau bagi teknologi dan inovasi sukan memandangkan industri itu mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, perpaduan serantau dan kebanggan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata industri sukan global kini berada pada trajektori pertumbuhan yang kukuh, dijangka meningkat sebanyak 54.5 peratus daripada USD388.2 bilion pada 2020 kepada anggaran USD600 bilion menjelang 2025.
Ahmad Zahid juga berkata perkembangan ini mencerminkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) yang kukuh iaitu sekitar 9.1 peratus sekali gus menunjukkan daya tahan dan daya saing ekonomi sukan di peringkat global.
"Dalam landskap yang dinamik ini, sektor sukan Malaysia menunjukkan momentum luar biasa. Dianggarkan bernilai USD4.17 bilion pada tahun 2022, sektor ini mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 12.1 peratus iaitu melebihi purata pertumbuhan global.
"Kejayaan ini menandakan kemunculan Malaysia sebagai pemain utama di rantau ASEAN di mana sukan semakin diiktiraf sebagai pemangkin bagi perpaduan, inovasi, keusahawanan dan pemerkasaan belia," katanya dalam ucapan sempena Ekspo Industri Sukan ASEAN 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata dengan jumlah penduduk melebihi 680 juta orang, ASEAN mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab global baharu dalam ekonomi sukan.
Beliau berkata industri ini merangkumi rantaian nilai menyeluruh yang meliputi pelancongan sukan, kesejahteraan, pembangunan bakat, pembuatan bernilai tinggi, pemasaran, inovasi digital dan perkhidmatan profesional.
Ahmad Zahid berkata bagi merealisasikan agenda itu, inovasi dan teknologi perlu menjadi tumpuan utama di samping memperkukuh bidang sains sukan, perubatan dan pemakanan bagi menyokong atlet secara menyeluruh.
Beliau berkata pasaran teknologi sukan global, yang bernilai USD11.7 bilion pada 2020, dijangka berkembang pesat melalui inovasi seperti Internet Kebendaan (IoT), analisis data serta infrastruktur pintar dan Malaysia bukan sahaja perlu mengikut trend ini malah harus menjadi peneraju.
"Menerusi inisiatif seperti Sandbox Teknologi Sukan, Pusat Kecemerlangan Sukan Negara dan pendigitalan menyeluruh dalam industri, kita sedang membina satu ekosistem di mana inovasi menjadi pemangkin kepada prestasi dan peluang," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata industri sukan dijangka membuka horizon baharu dalam peluang pekerjaan bernilai tinggi khususnya kepada golongan belia melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional TVET bagi melahirkan generasi bukan sekadar sebagai pemain tetapi juga pereka bentuk, pengurus dan pencetus inovasi dalam ekonomi sukan.
-- BERNAMA