MDIT x DD 2025 Tingkat Kesedaran Nilai Analisis Data Dalam Kalangan Pelajar IPT
KUANTAN, 17 Okt (Bernama) -- Penganjuran Malaysia Data Innovation Talent x DOSM Datathon 2025 (MDIT x DD 2025) mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar universiti mengenai nilai analisis data dan inovasi.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan Hari Statistik Negara 2025 itu juga menjadi platform untuk pelajar mengembangkan kemahiran dalam analisis data dan penggunaan perisian teknologi terkini.
“Dalam dunia yang semakin berorientasikan data, keupayaan untuk menganalisis dan memahami data adalah kemahiran yang sangat penting.
“Pertandingan ini juga bertujuan menyediakan pelajar dengan prospek pendidikan dalam bidang sains data dan memupuk pemikiran kritis serta menyediakan peluang meningkatkan kerjasama dengan pihak profesional dan industri,” menurut kenyataan itu.
MDIT x DD 2025 yang melibatkan penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah dirasmikan oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Pusat Latihan Kenegaraan Lipis hari ini.
MDIT x DD 2025 adalah satu pertandingan berprestij peringkat kebangsaan yang dianjurkan DOSM dengan kerjasama Kelab Perangkaan (InStats), Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Pertandingan yang bertemakan ‘Penyelesaian Inovatif Ke Arah Taraf Kehidupan Wajar di Malaysia’ itu disertaikan 93 pasukan daripada 24 IPT di seluruh negara melibatkan 372 pelajar.
Acara kemuncak pertandingan iaitu peringkat akhir yang menampilkan sepuluh pasukan terbaik diadakan pada hari ini, dan majlis penyampaian hadiah akan diadakan bersekali dengan Majlis Sambutan Hari Statistik Negara yang disambut di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan 1, Lipis esok.
Sementara itu, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) untuk memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan.
Menurut kenyataan itu, kerajaan juga mengisytiharkan 20 Okt sebagai Hari Statistik Negara dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan’, manakala Hari Statistik Dunia Keempat turut disambut pada 20 Okt dengan tema ‘Memacu Perubahan dengan Statistik dan Data Berkualiti untuk Semua Orang’.
-- BERNAMA