ASEAN Selaras Usaha Tangani Cabaran Media Sosial Selepas Sidang Kemuncak Ke-47 - Fahmi
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Negara-negara ASEAN akan menyelaras beberapa langkah bersama bagi memperkukuh usaha menangani cabaran media sosial selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Okt ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penyelarasan itu akan dilaksanakan melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab dan dijangka menjadi antara dokumen utama diterima pakai pada sidang kemuncak berkenaan.
“Penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur ini hasil daripada perbincangan dalam kalangan menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas penerangan, antara Ministers Responsible for Information pada Mei lalu di Bandar Seri Begawan (Brunei).
“Menerusi perbincangan itu, rata-rata menteri komunikasi dari rantau ASEAN telah bersetuju kita perlukan satu strategi bersama dan mengambil langkah bersama untuk mendepani cabaran semasa berkait isu media sosial.
“Kita perlu bersatu hati wujudkan perundangan yang seumpama atau serupa dan mengambil beberapa tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas ASEAN Friendship Concert 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini malam ini.
Beliau berkata meskipun negara-negara ASEAN berbeza dari segi saiz dan peranan, termasuk ada yang menjadi pusat operasi serantau bagi syarikat gergasi media sosial seperti Meta dan TikTok, semua negara tetap terkesan apabila berdepan isu keselamatan dalam talian.
“Kita tahu ASEAN ada negara yang saiznya besar, ada yang saiznya sangat kecil, ada negara yang menjadi ibu pejabat rantau bagi syarikat-syarikat besar seperti Meta, Facebook dan sebagainya, tetapi dalam isu keselamatan dalam talian kita semua terkesan sekiranya berlaku masalah dalam media sosial seperti scam, judi dalam talian dan sebagainya.
“Jadi Insya-Allah selepas pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini, beberapa perkara akan diselaraskan antara menteri-menteri ASEAN yang menjaga portfolio penerangan untuk mendepani cabaran media sosial,” katanya.
Mengenai persiapan menjelang sidang kemuncak berkenaan, Fahmi berkata secara keseluruhan, tahap kesiapsiagaan persidangan kini mencapai antara 85 hingga 90 peratus, dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang hari pembukaan rasmi.
Kesiapsiagaan itu termasuk memastikan segala keperluan teknikal melibatkan peningkatan jalur lebar dan pemasangan kemudahan 5G telah disiapkan bagi memastikan para pengamal media menikmati capaian Internet yang pantas dan stabil sepanjang persidangan berlangsung.
Ini disusuli pertemuan bersama pengamal media bagi memberikan maklumat terkini mengenai persiapan terakhir menjelang sidang kemuncak itu.
Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan penganjuran ASEAN Friendship Concert 2025, yang disifatkannya sebagai simbol semangat persaudaraan dan perpaduan serantau menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Ia merupakan julung kalinya kita menyaksikan bukan hanya 10 negara ASEAN yang turut serta tapi kali ini ada negara ke-11 iaitu Timor-Leste yang akan secara rasminya menyertai ASEAN pada 26 Okt ini.
“Sudah pasti ini peluang yang baik untuk kita sama-sama mendengar dan menyaksikan bakat-bakat muda dari rantau Asia Tenggara,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas kejayaan menganjurkan konsert tersebut.
-- BERNAMA