Perdana Menteri Hadiri ASEAN Friendship Concert 2025
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini meluangkan masa menghadiri ASEAN Friendship Concert 2025 yang berlangsung penuh meriah di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini.
Perdana Menteri tiba kira-kira 8 malam dan disambut oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman.
Turut hadir memeriahkan konsert para ketua perwakilan asing di Malaysia termasuk dari negara-negara ASEAN.
Konsert anjuran Kementerian Komunikasi melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Kementerian Luar itu diadakan bersempena Kepengerusian Malaysia bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang akan berlangsung hujung bulan ini di ibu negara.
Konsert berdurasi 90 minit dan disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM serta platform rakan strategik di bawah Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) itu, menampilkan artis-artis ternama dari 10 negara ASEAN serta Timor-Leste, sambil diiringi Orkestra RTM (ORTM) yang terdiri daripada 44 pemuzik profesional.
Mengangkat tema “Melodies of Unity, Rhythms of Friendship”, konsert itu membuka tirainya dengan persembahan memukau artis Malaysia Aisha Retno yang mendendangkan lagu Getaran Jiwa dan Samudera, sebelum persembahan oleh artis-artis dari negara ASEAN lain.
Antara artis berkenaan ialah Cidalia (Timor-Leste) yang mendendangkan lagu Hein; Pach Kimmouy (Kemboja) - How Do You Do; Valentina Ploy (Thailand) - Cheers to Life; Dila Junaidi (Brunei) - Anugerah Terindah; serta Adriane Roy Calangian (Filipina) - Madaling Araw.
Suasana konsert bertambah meriah dengan kemunculan Aina Abdul yang membawakan lagu Jangan Mati Rasa Itu, diikuti persembahan beramai-ramai lagu The Land We Love dan Hael Husaini menerusi Medley Hajat/Raikan Cinta.
Selain nyanyian, konsert itu turut menampilkan persembahan tarian tradisional dan tarian tema khas ASEAN Friendship Concert 2025, yang menonjolkan keindahan warisan budaya Asia Tenggara serta semangat keterangkuman antara negara anggota.
Konsert berkenaan turut diselitkan dengan segmen video pengenalan kepada negara-negara anggota ASEAN.
Dihoskan oleh Shahrizan Borhan (Malaysia) dan Dian Querrer (Filipina), konsert gemilang itu diakhiri dengan persembahan lagu Our Land Our Home oleh Aina, simbolik kepada semangat “We Are One” yang menjadi tema utama pementasan tersebut.
-- BERNAMA