Bessent, He Dijangka Bertemu Di Malaysia Menjelang Perbincangan Trump-Xi
WASHINGTON, 18 Okt (Bernama-Kyodo) -- Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent pada Jumaat berkata beliau dan Naib Perdana Menteri China He Lifeng dijangka mengadakan pertemuan di Malaysia hujung minggu depan sebagai sebahagian daripada usaha merangka persediaan bagi pertemuan antara Presiden kedua-dua negara, lapor Agensi Berita Kyodo.
Di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang kembali memuncak menjelang pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping hujung bulan ini di Korea Selatan, Bessent mengadakan perbualan dalam talian dengan He Lifeng.
Bessent menulis di media sosial bahawa perbincangan mereka mengenai perdagangan antara AS dan China berlangsung “terus terang dan terperinci”.
“Kami akan bertemu secara bersemuka minggu depan untuk meneruskan perbincangan ini,” katanya.
Agensi berita rasmi China, Xinhua, turut melaporkan mengenai perbualan itu, menyifatkannya sebagai “membina” dan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan ekonomi dan perdagangan peringkat tinggi secepat mungkin.
Sebelum panggilan itu, Bessent memaklumkan bahawa pasukannya dan delegasi China yang diketuai He akan “bertemu di Malaysia, mungkin seminggu dari sekarang, bagi membuat persediaan untuk pertemuan antara kedua-dua presiden.”
Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN dan rakan dialognya tahun ini yang akan bermula pada 26 Okt, dan Trump dijangka menghadirinya sebelum meneruskan lawatan ke Jepun dan Korea Selatan.
Sejak musim bunga lalu, Bessent dan He mengetuai beberapa pusingan rundingan perdagangan di beberapa bandar Eropah bagi meredakan ketegangan dua hala.
“Saya berpendapat keadaan kini semakin reda,” kata Bessent pada awal pertemuan makan tengah hari Trump di Rumah Putih bersama Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, yang turut disertai sesi soal jawab bersama wartawan.
“Kami berharap China akan menunjukkan rasa hormat sebagaimana yang telah kami tunjukkan kepada mereka dan saya yakin bahawa Presiden Trump, menerusi hubungan baiknya dengan Presiden Xi mampu mengembalikan keadaan ke landasan yang positif,” katanya.
Trump mengulangi bahawa beliau merancang untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Xi apabila kedua-duanya berada di Korea Selatan bagi menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik hujung bulan ini.
“Kami sedang berbincang dan saya fikir kami akan mencapai satu perjanjian yang baik untuk kedua-dua pihak. Saya yakin sesuatu akan dapat dicapai,” kata Trump.
Sebagai tindak balas terhadap pengumuman China mengenai kawalan eksport baharu bagi mineral nadir bumi, Trump minggu lalu mengancam untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 100 peratus terhadap import dari China, sekali gus mencetuskan semula ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
-- BERNAMA-KYODO