PDRM Laksana Tugas Keselamatan Terbesar Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri raptai delegasi menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
23/10/2025 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Sebanyak 10,170 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan bagi mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, menjadikannya penugasan terbesar tahun ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kekuatan itu melibatkan pelbagai jabatan dan unit taktikal termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Cawangan Khas, Unit Tindakan Khas, 69 Komando, Pasukan Simpanan Persekutuan, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara serta elemen sokongan lain.

Beliau berkata penugasan menyeluruh turut merangkumi kawasan strategik seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta hotel penginapan rasmi para delegasi antarabangsa.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menghadiri sesi raptai delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. Ketibaan beliau di Bilik Gerakan Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar 10.15 pagi tadi mencerminkan komitmen tinggi pasukan PDRM dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang persidangan berprestij itu. Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman (Gerakan/Operasi) Datuk Fisol Salleh serta Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

“Kita turut menugaskan pasukan khas bagi pemantauan keselamatan siber, kawalan udara dan pengawasan kawasan berisiko tinggi.

“Semua aspek keselamatan dan kawalan trafik telah dirancang dengan teliti bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum,” katanya selepas meninjau persiapan dan raptai keselamatan di KLCC, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Datuk Fisol Salleh serta Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan keselamatan terhadap pergerakan masuk ke pusat konvensyen sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Khalid berkata raptai pergerakan delegasi yang bermula pagi tadi berjalan lancar dan akan diteruskan hingga 25 Okt ini bagi memastikan setiap aspek keselamatan diuji sepenuhnya.

Beliau berkata beberapa laluan utama di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan laluan ke KLIA ditutup secara berperingkat sejak 17 Okt, dengan penutupan lebih ketara dijangka pada 26 hingga 28 Okt sempena hari kemuncak sidang.

“Antara jalan terlibat termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Persiaran KLCC serta beberapa lebuh raya utama seperti MEX, ELITE, NKVE dan Guthrie,” katanya sambil menasihatkan orang ramai tanpa urusan penting supaya mengelak kawasan pusat bandar, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam.

Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Agensi Pengangkutan Awam Darat serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atas kerjasama padu mereka.

“Pendekatan bersepadu ini mencerminkan semangat kerjasama antara agensi dalam memastikan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” katanya sambil menyeru rakyat mematuhi undang-undang dan menunjukkan sikap bertanggungjawab sepanjang tempoh sidang berlangsung.

-- BERNAMA