Negara Kecil ASEAN Dan Bakal Anggota Hadapi Cabaran Besar Menuju Sidang Kemuncak Serantau
Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 23 Okt (Bernama) -- Ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur menarik perhatian dunia, negara anggota ASEAN yang sedang membangun dijangka membawa naratif tersendiri ke meja perbincangan.
Negara anggota utama ASEAN secara tradisi sering mendominasi mesyuarat dengan tumpuan kepada isu perdagangan, tarif dan keselamatan serantau.
Namun, sidang kali ini dijangka lebih inklusif apabila ekonomi sedang membangun seperti Kemboja, Laos dan Timor-Leste (selaku negara pemerhati yang bakal diterima sebagai anggota penuh ASEAN) - masing-masing berdepan pelbagai cabaran sosioekonomi - mahu memastikan suara mereka turut didengari di Kuala Lumpur.
“Negara kecil kini berdepan cabaran yang semakin kompleks akibat persaingan kuasa besar, ancaman rentas sempadan dan ketidaktentuan global.
Isu baharu seperti perubahan iklim, keselamatan siber, kerentanan ekonomi dan kebergantungan strategik turut menguji ketahanan negara kecil,” kata Ketua Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa Kemboja, Dr Kin Phea, pada forum bertajuk “Dasar Luar Negara Kecil: Diplomasi Aman dan Pencegahan” di Phnom Penh baru-baru ini.
Dari pantai indah Timor-Leste hingga landskap menakjubkan Laos serta tarikan pelancongan Kemboja, negara kecil ini berkongsi pelbagai kesusahan.
Perubahan iklim, keterjaminan tenaga dan makanan, bencana cuaca, perlindungan wanita dan kanak-kanak dalam situasi tidak stabil serta jurang kekayaan yang semakin melebar terus membebankan negara kecil.
Tumpuan pembuat dasar ASEAN kini perlu beralih kepada isu yang lebih luas dan berpusatkan rakyat, di samping menangani cabaran serantau serta global.
Sebagai contoh, melindungi Sungai Mekong - yang turut mengalir melalui Kemboja dan Laos - amat penting kepada hampir 70 juta penduduk yang bergantung kepadanya untuk kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, pembinaan empangan hidroelektrik di hulu sungai, penebangan hutan dan aktiviti perlombongan pasir boleh memusnahkan sumber marin yang kaya serta menjejaskan komuniti luar bandar, menurut pakar alam sekitar.
Kemboja turut berdepan cabaran baharu termasuk konflik sempadan dengan Thailand, pembanterasan pusat penipuan antarabangsa serta peningkatan suhu akibat perubahan iklim yang boleh menjejaskan kesihatan berjuta-juta petaninya.
Negara jiran Laos dengan populasi enam juta orang juga tidak terkecuali. Negara yang dikelilingi daratan itu kini dalam fasa pemulihan selepas beberapa ribut tropika memusnahkan kawasan pertanian, kediaman dan infrastruktur.
Pusat penipuan, pemerdagangan manusia, hutang negara serta kadar inflasi tinggi turut menjadi kebimbangan utama.
Sektor pendidikan turut berdepan masalah besar apabila Kerajaan Laos terpaksa menempatkan kira-kira 2,000 anggota tentera di sekolah luar bandar tahun ini susulan kekurangan tenaga pengajar profesional. Guru enggan berkhidmat kerana gaji rendah dan peluang kerjaya yang terhad, menurut laporan Laotian Times.
Sementara itu, bakal anggota baharu ASEAN, Timor-Leste, berdepan masalah banjir dan kemarau yang menjejaskan hasil pertanian serta ekonomi yang menyara 1.4 juta penduduknya.
Hampir 75 peratus penduduk negara itu tinggal di luar bandar dan bergantung kepada pertanian sebagai sumber pendapatan.
Rektor Universiti Kebangsaan Timor Lorosa’e (UNTL), Profesor Joao Soares Martins berkata banjir dan kemarau panjang menjejaskan masyarakat kerana usaha pengurangan risiko masih belum mencukupi.
“Sebagai satu komuniti, ASEAN perlu bekerjasama dan saling membantu, negara besar membantu negara kecil.
“Terdapat contoh negara kecil yang berjaya dari segi ekonomi dan politik dalam ASEAN seperti Singapura dan Brunei - mereka kecil tetapi makmur.
“Timor-Leste dan Laos boleh belajar daripada pengalaman negara kecil yang berjaya ini untuk membimbing pembangunan mereka,” katanya kepada Bernama dari ibu negara Dili.
Jurang digital yang semakin melebar, kekurangan teknologi dan perbezaan antara golongan kaya dan miskin kini menjadi realiti getir yang menggugat beberapa negara di Asia Tenggara.
“Negara kecil ASEAN berdepan pelbagai cabaran dalam pelbagai bidang, termasuk keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Dengan mengambil kira cabaran berulang ini, ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran rentas sempadan.
Jika ASEAN mahu muncul lebih kukuh dalam fasa revolusi digital ini, blok itu mesti menangani jurang digital dalam kalangan negara anggotanya,” kata Profesor Madya Dr Rahul Mishra daripada Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Jawaharlal Nehru, New Delhi kepada Bernama.
-- BERNAMA