Filipina Puji Peranan ASEAN Sebagai Penstabil Dalam Ketegangan AS-China
Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
SEPANG, 23 Okt (Bernama) -- ASEAN terus memainkan peranan sebagai penstabil dalam menangani kerumitan geopolitik serantau yang semakin meningkat, termasuk persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta dalam mengekalkan keseimbangan serantau, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro.
Bercakap kepada Bernama sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Lazaro berkata sumbangan ASEAN mungkin meningkat sedikit demi sedikit, namun pendekatan kolektif blok itu kekal penting dalam mengekalkan keamanan dan dialog di rantau ini.
“Dalam konteks hubungan AS-China, ASEAN sentiasa memainkan peranan dalam mengemudi kuasa-kuasa geopolitik ini… saya fikir sumbangannya meningkat sedikit demi sedikit ,” katanya.
Lazaro turut memuji kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, sambil menegaskan bahawa usaha diplomatik Kuala Lumpur telah memperkukuh keupayaan blok serantau itu dalam menguruskan hubungan kuasa besar.
“Ini merupakan isu yang turut dihadapi pengerusi-pengerusi terdahulu, dan Malaysia telah banyak melakukan usaha untuk mengemudi cabaran ini. Kami berharap usaha ini akan diteruskan. Filipina berpendirian untuk meneruskan apa yang telah dimulakan oleh Malaysia,” katanya.
Lazaro berkata Filipina berikrar untuk meneruskan usaha kolektif ASEAN dalam menangani isu utama geopolitik dan ekonomi apabila mengambil alih kepengerusian blok itu dari Malaysia pada penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menyifatkan perhimpunan itu sebagai platform penting untuk membincangkan isu serantau dan global, beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan merupakan wadah penting untuk menangani cabaran geopolitik utama.
“Delegasi Filipina hadir dengan penyertaan sepenuhnya kerana ini adalah platform tahunan kami untuk membincangkan pelbagai isu geopolitik.
Yang paling penting, kami kini bersedia menerima Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Ferdinand Marcos Jr.,” katanya sambil menambah bahawa Manila menantikan penyelarasan yang lebih kukuh di bawah mekanisme Troika ASEAN.
Troika ASEAN, yang ditubuhkan pada 2023, terdiri daripada pengerusi semasa, terdahulu dan akan datang bagi memastikan kesinambungan kerja ASEAN, khususnya dalam menangani krisis di Myanmar.
Malaysia yang menyandang Kepengerusian ASEAN tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Ini merupakan kali kelima Malaysia memikul tugas sebagai Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas mempengerusikannya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Filipina akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Malaysia pada 2026.
-- BERNAMA