Kewibawaan Malaysia Kian Menyerlah Di Pentas Dunia - Mohamad Hasan

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan meninjau persiapan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di sini, hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
24/10/2025 12:26 AM

Oleh Amirul Mohd Sajadi dan Nur Syuhada Yusof

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kewibawaan Malaysia sebagai kuasa berpengaruh di arena diplomasi antarabangsa semakin menyerlah apabila nama negara sering mendapat perhatian dalam pelbagai persidangan dan forum dunia sejajar dengan peranan aktifnya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia kini bukan sahaja dikenali sebagai negara yang berjaya dan stabil di rantau ini, malah dihormati oleh pelbagai pihak kerana pendekatan sederhana serta berprinsipnya dalam hubungan antarabangsa.

“Insya-Allah, setakat ini nama Malaysia sentiasa menjadi sebutan dalam mana-mana persidangan.

“Dalam setiap forum antarabangsa, termasuk semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, saya sendiri diundang untuk menyampaikan ucaptama mewakili Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau berkata Malaysia yang sering diundang menyertai forum-forum berprestij dunia mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pandangan dan kepimpinan negara dalam pelbagai isu serantau serta global.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap dalam sidang media semasa tinjauan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), lokasi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan, di sini, hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohamad berkata prestasi Kepengerusian Malaysia-ASEAN 2025 tidak hanya diukur daripada aspek penganjuran, tetapi juga dari sudut kejayaan Malaysia menjadi penghubung antara kuasa besar dunia dan rakan serantau.

“Malaysia kini dianggap sebagai negara yang berjaya dalam rantau ini, terutama apabila kita memainkan peranan aktif sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Ini bukan sahaja mengangkat imej Malaysia, tetapi juga mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai blok serantau yang semakin dihormati,” katanya.

Beliau berkata Malaysia komited untuk memastikan hubungan baik yang terjalin dengan pelbagai negara terus diperkukuh bukan hanya sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN, tetapi juga selepas tanggungjawab itu diserahkan kepada Filipina pada 2026.

“Kita mahu pastikan jalinan kerjasama strategik yang sedia ada bukan bersifat sementara, malah terus dimanfaatkan demi kepentingan bersama,” katanya.

Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan dunia sekali lagi apabila lebih daripada 3,000 delegasi termasuk pemimpin dunia dan pegawai kanan bakal berkumpul di sini dari 26 hingga 28 Okt, di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Selain pemimpin ASEAN, antara pemimpin berprofil tinggi dunia yang dijadual menghadiri sidang kemuncak itu ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.

-- BERNAMA