Menteri Luar Thailand, Kemboja Tiba Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
SEPANG, 23 Okt (Bernama) -- Semakin ramai pemimpin ASEAN tiba di ibu negara Malaysia pada Khamis malam menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dengan menteri luar Kemboja dan Thailand antara yang terbaharu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn tiba pada 9.25 malam, manakala Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow tiba pada 8.30 malam.
Turut tiba lebih awal ialah Menteri Hal Ehwal Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof pada 8.24 malam dan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro pada 4.50 petang.
Ketibaan menteri luar dari negara anggota ASEAN serta negara rakan dialog dijangka berterusan esok dan beberapa hari berikutnya, diikuti ketibaan ketua negara dan kerajaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hujung minggu ini.
Antara ketua negara dan kerajaan yang dijangka tiba esok ialah Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta dan Perdana Menteri negara itu Kay Rala Xanana Gusmão serta Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.
Di bawah tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah ASEAN, berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau serta menangani cabaran global secara bersepadu dan inklusif.
Acara ini turut menyaksikan penglibatan aktif Timor-Leste dalam proses kemasukannya sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan semasa sidang pada 26 Okt.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menggalas tugas sebagai Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas mempengerusikannya pada tahun 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA