Setiausaha Agung Ketuai Delegasi Sekretariat ASEAN Ke Sidang Kemuncak Ke-47 Di KL
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 23 Okt (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn akan mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Malaysia dari 26 hingga 28 Okt ini.
Beberapa acara penting dijangka berlangsung di luar sidang kemuncak itu termasuk pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, Penyertaan Finland dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) dan Protokol Kedua bagi Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
Kenyataan sekretariat itu hari ini memaklumkan agenda persidangan itu juga merangkumi Sidang Kemuncak Pemimpin Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) Kelima dan Majlis Penyampaian Hadiah ASEAN.
Menjelang sidang kemuncak itu, Kao akan mengambil bahagian dalam mesyuarat peringkat menteri pada 25 Okt ini termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-30, Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-37 serta Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN.
Beliau juga dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan wakil kanan negara anggota ASEAN, rakan dialog luar dan pertubuhan antarabangsa bagi membincangkan pengukuhan kerjasama, mengenal pasti bidang kerjasama baharu dab memajukan usaha pembinaan Komuniti ASEAN.
“Kesemua mesyuarat peringkat tinggi ini menyediakan platform penting untuk menilai kemajuan ASEAN, menetapkan keutamaan baharu dan mengulangi komitmen rantau ini terhadap keamanan, kestabilan dan pertumbuhan yang inklusif serta mampan,” menurut kenyataan itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Mesyuarat-mesyuarat itu akan membincangkan pelbagai isu berkaitan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA