Malaysia Perkukuh ASEAN Sebagai Blok Lebih Utuh, Berpengaruh - Penganalisis
Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah & Mohd Khairi Idham Amran
KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Malaysia memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai blok serantau yang lebih utuh dan berpengaruh, berikutan kemasukan rasmi Timor-Leste kelak dan pengiktirafan antarabangsa yang semakin meningkat ketika pemimpin dunia bersidang di Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, satu langkah yang mengukuhkan perpaduan serantau dan menghalang pengaruh eksternal ke atas dasar luar anggota baharu itu.
“Malaysia lebih awal mengiktiraf bahawa Timor-Leste harus menjadi sebahagian daripada ASEAN untuk menghalang kuasa luar daripada mempengaruhi dasar luarnya," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, diplomasi proaktif Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperluas kerelevanan ASEAN melangkaui isu serantau.
Beliau berkata ini dapat dilihat semasa konflik Thailand-Kemboja iaitu Malaysia menjadi perantara gencatan senjata antara kedua-dua negara jiran itu, mencerminkan komitmennya terhadap perpaduan dan kepusatan ASEAN.
“Malaysia, sebagai pengerusi, bertindak pantas walaupun bantahan awal Thailand dan gencatan senjata akhirnya dicapai melalui diplomasi proaktif Malaysia,” katanya.
Beliau berkata di bawah kepengerusian Malaysia, ASEAN turut merujuk kepada konflik Gaza dalam pengisytiharan rasminya buat kali pertama, menandakan penglibatan blok itu yang semakin meningkat dalam isu kemanusiaan global.
Selain itu, Malaysia turut mencadangkan utusan tetap ASEAN bagi memantau Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar, mencerminkan keazaman baharu untuk menegakkan demokrasi dalam blok itu, kata penganalisis itu.
Azmi berkata jangkauan diplomatik Malaysia telah menarik perhatian global dan ini dibuktikan dengan jangkaan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung minggu ini.
“Apabila Anwar dihormati di peringkat global, ASEAN secara automatik mendapat pengiktirafan yang lebih besar,” katanya
Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata kredibiliti Malaysia sebagai ‘broker’ atau orang tengah keamanan telah lama diiktiraf di rantau ini.
“Malaysia sering dipilih sebagai pengantara setiap kali konflik timbul termasuk di selatan Thailand atau antara Thailand dan Kemboja,” katanya.
Beliau berkata pendirian Malaysia yang neutral dan sederhana menjadikannya sangat dihormati dalam kalangan anggota ASEAN dan rakan kerjasama global.
“Malaysia adalah sebuah negara tidak bersekutu dan sentiasa mengutamakan rundingan dan konsensus berbanding konfrontasi. Konsistensi itu mendapat penghormatan daripada kedua-dua ASEAN dan masyarakat antarabangsa," katanya.
Mazlan berkata kemasukan Timor-Leste akan menjadikan ASEAN benar-benar sebuah blok serantau, menekankan keterangkuman dan kematangan serta sokongan padu Malaysia adalah kunci kepada proses itu.
Beliau berkata Malaysia boleh berfungsi sebagai jambatan, menghubungkan anggota ASEAN yang maju dengan yang masih membangun untuk merapatkan jurang pembangunan di seluruh rantau ini.
“Malaysia boleh bertindak sebagai penghubung, menyalurkan pelaburan daripada rakan kongsi yang lebih kaya untuk membantu anggota ASEAN yang sedang membangun untuk berkembang,” katanya.
Kemasukan Timor-Leste menandakan perluasan pertama ASEAN dalam lebih dua dekad sejak Kemboja menyertai badan serantau itu pada 1999.
Negara itu diberikan status pemerhati pada 2022 dan akan diterima masuk secara rasmi sebagai anggota ke-11 blok itu pada 26 Okt ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Persidangan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt, di bawah Kepemimpinan ASEAN 2025 Malaysia bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".
Selain pemimpin ASEAN, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi, antara lebih 20 pemimpin global yang dijadualkan hadir manakala Perdana Menteri India Narendra Modi bakal menyertai persidangan secara dalam talian.
-- BERNAMA