ASEAN Tekan Peranan PMKS Dalam Pertumbuhan Serantau
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terhadap ekonomi dan usaha kemampanan di Asia Tenggara akan diiktiraf dengan pelancaran Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk PMKS dalam Peralihan Hijau hari ini, bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Selain itu, inisiatif mengenai keterangkuman dan kemampanan juga akan merangkumi pelancaran laporan “ASEAN AHEAD: ASEAN Science, Technology, Innovation Ecosystem Foresight 2035” serta inisiatif tentang “ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future”.
Majlis itu akan dihadiri oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama Menteri Luar ASEAN dan menteri Majlis Ekonomi ASEAN.
ASEAN telah mencatat kemajuan ketara di bawah tonggak ekonomi, terutamanya dalam mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota serta rakan dialog, untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang berdaya saing.
Dilaporkan terdapat kira-kira 70 juta PMKS di rantau ini, mewakili antara 97.2 peratus hingga 99.9 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara anggota ASEAN. Melihat kepada kepentingan sektor itu, inisiatif yang memberikan tumpuan kepada syarikat besar sahaja bermakna pertumbuhan perdagangan tidak akan mencapai potensi penuh.
Agenda hari ini turut merangkumi Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-26 dan perundingan tidak rasmi lanjutan mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sesi khas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN dan Forum Pelaburan ASEAN 2025 (AIF2025) juga akan diadakan hari ini.
Menteri-menteri dan pegawai kanan negara anggota ASEAN, bersama dengan delegasi dari Timor-Leste, turut dijadualkan menghadiri beberapa mesyuarat peringkat tinggi di bawah Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan rangka kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Program hari ini akan bermula dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM), yang dihadiri wakil Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Datuk Astanah Abdul Aziz.
Pada sebelah malam, Mohamad akan mengehoskan majlis makan malam untuk menteri-menteri luar dan delegasi ASEAN yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Menteri Luar Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas dan Menteri Luar Finland Elina Valtonen.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt, di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Acara itu dijangka menjadi pertemuan terbesar dalam sejarah ASEAN, berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama mendalam sambil menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.
Selain pemimpin ASEAN, antara lebih 20 pemimpin global yang dijadualkan hadir ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa, dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN buat kali kelima sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, selepas memegang jawatan berkenaan pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
