Thailand Mahu Perjanjian Keamanan Sempadan Dengan Kemboja Dilaksana Secara Tulus - Sihasak

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, ditemu bual oleh Bernama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
24/10/2025 08:51 PM

Oleh Nur Syahidayah Mahasan & Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Thailand berharap deklarasi bersama dengan Kemboja berhubung pelaksanaan gencatan senjata akan menjadi langkah konkrit ke arah mewujudkan keamanan dan kerjasama yang berkekalan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow berkata beliau optimis deklarasi bersama itu akan membuka lembaran baharu dalam hubungan antara kedua-dua negara jiran sekali gus merintis jalan ke arah meredakan ketegangan serta memperkukuh kerjasama kemanusiaan dan keselamatan serantau.

“Kami berharap dapat menandatangani satu deklarasi di Kuala Lumpur yang bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan kami dengan Kemboja.

“Bagi kami, ia bukan sekadar apa yang ditandatangani dalam perjanjian itu. Yang lebih penting ialah melaksanakan apa yang telah dipersetujui. Kami mahukan keamanan yang sebenar dan tulen, bukan sekadar dokumen yang ditandatangani,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Sihasak juga berkata keamanan hanya akan bertapak apabila kedua-dua negara menunaikan komitmen serta menunjukkan keikhlasan khususnya dalam menangani isu sensitif seperti penyingkiran ranjau darat dan usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

“Keamanan tidak akan tercapai hanya dengan menandatangani dokumen ini walaupun kami menyambut baik langkah ini. Ia hanya akan menjadi kenyataan apabila kedua-dua pihak benar-benar melaksanakan apa yang telah dipersetujui.

“Jadi, kami berharap rakan-rakan kami di Kemboja akan bersama-sama kami dengan penuh keikhlasan dalam melaksanakan segala yang telah dipersetujui dalam deklarasi bersama tersebut,” katanya.

Sihasak berkata penyediaan draf deklarasi bersama dengan Kemboja merangkumi beberapa bidang utama termasuk langkah-langkah meredakan ketegangan, penyingkiran ranjau secara kemanusiaan serta kerjasama lebih erat dalam membanteras jenayah rentas sempadan seperti penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia.

“Saya sudah dua kali berkunjung ke Kuala Lumpur, dan mesyuarat terakhir berlangsung sehingga tengah malam.

“Saya amat berpuas hati kerana rakan sejawat dari Kemboja bekerjasama dengan serius dan bersungguh-sungguh untuk menangani isu seperti meredakan ketegangan di sempadan serta mencari cara sebenar untuk bekerjasama dalam usaha penyingkiran ranjau secara kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata kemajuan yang dicapai antara Thailand dan Kemboja semasa mesyuarat itu mencerminkan kekuatan diplomasi ASEAN serta keberkesanan peranan Malaysia sebagai pemudah cara di bawah Kepengerusian ASEAN pada masa ini.

“Malaysia telah memainkan peranan yang amat penting sebagai pemudah cara dalam mesyuarat yang kami adakan. Inilah semangat ASEAN yang kita perlukan untuk bekerjasama, membina kepercayaan dan memastikan rantau kita kekal aman dan saling bekerjasama,” katanya merujuk kepada rundingan empat pihak yang dianjurkan oleh Malaysia pada 12 dan 17 Okt lepas.

Amerika Syarikat (AS) turut menyertai mesyuarat berkenaan sebagai pemerhati.

Presiden AS Donald Trump, yang akan berada di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Berkaitan, juga dijangka menyaksikan majlis menandatangani deklarasi bersama antara Thailand dan Kemboja, yang bakal dikenali sebagai Perjanjian Kuala Lumpur, pada 26 Okt ini.

Thailand dan Kemboja sudah lama terjebak dalam konflik mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas, yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.

Gencatan senjata itu, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak rantau berkenaan dari 26 hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA