Presiden Afrika Selatan Tiba Untuk Lawatan Rasmi, Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Matamela Cyril Ramaphosa
25/10/2025 12:55 AM

Oleh Mohd Ashraf Stafiq Mazlan

SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi empat hari atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Pesawat khas yang membawa Ramaphosa serta delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 11 malam dan disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Ramaphosa seterusnya memeriksa kawalan kehormatan dibarisi 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja Melayu yang diketuai oleh Kapten Ahmad Fakhruzzakirin Abdul Rahman.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ini adalah lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak menyandang jawatan itu pada Februari 2018.

Menurut kenyataan itu, Ramaphosa akan diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra, Putrajaya esok yang disusuli oleh mesyuarat dua hala dengan Anwar di Kompleks Seri Perdana.

Ramaphosa juga telah dijemput menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Ahad ini.

Pada Isnin, beliau dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Anwar serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada 2024, Afrika Selatan merupakan rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia di Afrika dengan nilai dagangan dua hala sebanyak RM7.82 bilion (USD1.71 bilion).

Eksport Malaysia ke Afrika Selatan bernilai RM3.84 bilion (USD0.84 bilion) manakala import pula RM3.98 bilion (USD0.87 bilion), mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin meningkat dan potensi besar untuk kerjasama seterusnya antara kedua-dua negara.

Eksport utama Malaysia ke Afrika Selatan termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit, produk petroleum, produk elektrik dan elektrikal manakala import dari Afrika Selatan terdiri daripada barangan logam, produk pertanian seperti buah-buahan segar dan kering serta makanan diproses.

Malaysia dan Afrika Selatan telah menjalin hubungan diplomatik pada November 1993, dengan hubungan dua hala dicirikan oleh ikatan diplomatik, ekonomi dan sejarah yang kukuh. 

Kedua-dua negara turut menjalinkan kerjasama erat dalam pelbagai platform multilateral termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Komanwel dan BRICS.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.

Sidang kemuncak ini, yang menghimpunkan pemimpin ASEAN serta rakan dialog mereka termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Brazil, Australia dan Kesatuan Eropah, bakal menjadi yang terbesar diadakan sejak penubuhan blok itu pada 1967.

Ini adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan tersebut pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA