Timbalan Perdana Menteri China Tiba Untuk Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

He Lifeng (tengah).
25/10/2025 12:42 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri China He Lifeng tiba di Malaysia malam ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pesawat khas yang membawa He serta delegasi China selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya di sini pada 11.15 malam.

Semalam, media antarabangsa melaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China akan mengadakan rundingan perdagangan peringkat tinggi pusingan kelima hujung minggu ini di Kuala Lumpur bagi merintis jalan untuk merealisasikan pertemuan antara presiden kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu.

Rundingan itu akan melibatkan delegasi AS yang diketuai Wakil Perdagangan Jamieson Greer manakala delegasi China diketuai oleh He. 

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menjadi tuan rumah kepada lebih 30 pemimpin dunia termasuk dari rantau ASEAN, AS, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan untuk penglibatan dan kerjasama yang lebih erat sambil menangani pelbagai isu serantau serta global yang mempunyai kepentingan bersama.

Para pemimpin badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga dijadual menghadiri mesyuarat serantau berprestij itu.

-- BERNAMA