Krisis Myanmar, Inisiatif Baharu Dominasi Mesyuarat ASEAN Hari Ini
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Isu jenayah rentas sempadan Myanmar, kelewatan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara serta pelancaran tiga inisiatif ASEAN berkaitan keterangkuman dan kemampanan menjadi antara tumpuan utama pada hari kedua mesyuarat ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hujung minggu ini.
Selepas mempengerusikan Konsultasi Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihak berkuasa Myanmar digesa segera menghentikan kegiatan jenayah rentas sempadan yang memberi kesan buruk kepada negara jiran dan ASEAN secara keseluruhan.
Beliau berkata ASEAN turut menyeru pentadbiran Myanmar supaya menamatkan semua bentuk keganasan terhadap rakyatnya sendiri, sambil menegaskan bahawa usaha menghentikan keganasan kekal menjadi teras kepada Konsensus Lima Perkara yang menjadi panduan tindakan blok itu dalam krisis berkenaan.
Mohamad turut menekankan bahawa pilihan raya Myanmar yang akan datang mesti dilaksanakan secara adil, telus dan inklusif dengan memastikan penyertaan semua rakyat, manakala pemerhati ASEAN dijangka memantau proses berkenaan dengan teliti.
Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan tahniah kepada Kemboja atas kejayaan memuktamadkan “Kuala Lumpur Accord” dan Terma Rujukan (TOR) bagi Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), satu mekanisme penting untuk memantau dan mengekalkan gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 turut mencapai satu detik penting dengan pelancaran tiga inisiatif utama berkaitan keterangkuman dan kemampanan, sekali gus menegaskan komitmen rantau ini terhadap pembangunan saksama dan berpandangan jauh.
Tiga inisiatif berkenaan ialah Pusat Kecemerlangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi Peralihan Hijau di ASEAN (MEGA); laporan “ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond” serta buku “ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Sustainable Future”.
Dalam bidang ekonomi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ASEAN yakin dapat merintis laluan pelaksanaan yang berkesan ke arah memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) menjelang 2026, dengan lebih 70 peratus rundingan telah diselesaikan.
Tengku Zafrul yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 hari ini turut memaklumkan bahawa tujuh Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) telah dilaksanakan sepenuhnya, manakala lima lagi akan dilaksanakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Beliau turut berkata bahawa Malaysia kini berada pada peringkat akhir rundingan tarif dengan Amerika Syarikat dan berharap perjanjian itu dapat dimuktamadkan pada Ahad ini semasa sidang kemuncak itu.
Ketika Kuala Lumpur bersiap sedia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, pemimpin serantau dan antarabangsa termasuk Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão telah tiba bagi menghadiri mesyuarat berkenaan.
Antara pemimpin dunia lain yang dijangka berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun Sanae Takaichi.
-- BERNAMA
