KL Accord: Prak Sokhonn Pamer Keyakinan
Oleh Mohd Adli Shahar dan Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, Oct 25 (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn hari ini menunjukkan keyakinannya terhadap perjanjian Kuala Lumpur Accord (KL Accord) dengan memberikan isyarat ibu jari ('thumbs up') kepada media.
Sokhonn, yang ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, tersenyum apabila ditanya mengenai harapannya terhadap perjanjian damai itu, yang bakal menjadi acara penting Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
KL Accord, yang dirangka berikutan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, dijadualkan ditandatangani esok dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Isyarat positif Sokhonn itu adalah selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dari Malaysia, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semalam, selain mekanisme utama untuk perjanjian damai telah dimuktamadkan termasuk Terma Rujukan (TOR) untuk Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).
Kemboja dan Thailand telah lama terjebak dalam konflik sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas, yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.
Pada 28 Julai lepas, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara itu.
-- BERNAMA
