Malaysia Ulangi Komitmen Perkukuh Hubungan Kebudayaan ASEAN Melalui BOAPA 2025
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia kekal komited memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat dan mempromosikan kepelbagaian budaya sebagai sebahagian daripada usaha mengeratkan perpaduan serantau di bawah tonggak Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata inisiatif seperti Best of ASEAN Performing Arts (BOAPA) 2025 membolehkan negara anggota ASEAN bersama-sama memelihara, meraikan dan mengembangkan warisan budaya di samping memperkukuh persefahaman antara rakyat di rantau ini.
“Lebih daripada sekadar projek kebudayaan tahunan yang dianjurkan oleh Pengerusi ASEAN, program ini berfungsi sebagai platform konsert dengan potensi besar dalam pelancongan budaya, khususnya apa yang dikenali sebagai pelancongan konsert atau pelancongan muzik.
“Pelancongan konsert antara segmen utama pelancongan di Malaysia, menarik kehadiran pelawat dari seluruh rantau untuk menyaksikan persembahan bertaraf dunia oleh artis antarabangsa dan serantau,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran BOAPA 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM Hamzah Ishak, Penolong Pengurus Besar Telekom Malaysia Mohammad Yusof Amirudin serta wakil kedutaan Vietnam dan Timor-Leste.
Majlis malam ini menampilkan persembahan tarian oleh dua peserta muda dari setiap negara ASEAN yang memperagakan kepelbagaian, keindahan pakaian tradisional serta keunikan warisan budaya masing-masing.
Mohd Yusri berkata kemudahan serba moden di Malaysia seperti Axiata Arena, Stadium Nasional Bukit Jalil dan Zepp Kuala Lumpur menyediakan pelbagai jenis lokasi bagi penganjuran jelajah global serta acara hiburan secara langsung yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara melalui penginapan hotel, perbelanjaan tempatan dan penjanaan peluang pekerjaan dalam sektor kreatif.
Berhubung BOAPA 2025, Mohd Yusri berkata para peserta muda yang mengambil bahagian sebagai cerminan sebenar warisan budaya ASEAN.
“Malam ini, ketika mereka melangkah naik ke pentas, mereka mewakili aspirasi bersama kita – menjadi simbol perpaduan, kreativiti dan harapan untuk masa depan rantau ini yang lebih cerah serta saling berhubung,” katanya.
BOAPA 2025 merupakan usaha serantau bagi memupuk dan memperkasakan generasi baharu bakat budaya di seluruh ASEAN, menyemai kreativiti, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian warisan ASEAN serta memperkukuh jati diri budaya dalam kalangan belia.
Program ini merangkumi bengkel intensif selama enam hari yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran seni persembahan termasuk tarian tradisional, muzik serta interpretasi kontemporari budaya ASEAN.
Sebanyak 22 artis muda berusia antara tujuh hingga 13 tahun dari negara anggota ASEAN menyertai pertukaran ilmu dan kreativiti yang penuh warna-warni ini.
-- BERNAMA
