MITI Perkukuh Kerjasama Serantau Bagi Manfaatkan Pasaran, Rantaian Bekalan
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif membolehkan perniagaan melabur, menjalankan perdagangan dan berkembang maju melalui kerjasama erat dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, sektor swasta dan rakan serantau.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerjasama itu akan meningkatkan akses pasaran, kesalinghubungan rantaian bekalan dan pembangunan industri yang mampan.
Katanya langkah itu selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang dipercayai.
“Inisiatif utama tahun ini, termasuklah memacu Grid Tenaga ASEAN dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta menaik taraf perjanjian perdagangan dengan China (ACFTA 3.0), India (AITIGA) dan antara negara ASEAN, bertujuan mencapai semua matlamat tersebut dan banyak lagi.
“Selain itu, pelancaran Pusat Peralihan Hijau Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ASEAN menggariskan komitmen kami bahawa tiada perusahaan, tanpa mengira saiz, akan ketinggalan kerana apabila PMKS berkembang maju, ASEAN juga akan makmur,” katanya dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata ABIS 2025 berlangsung pada detik penting bagi ASEAN.
“Landskap ekonomi global kini berubah-ubah, didorong oleh peralihan rantaian bekalan, penjajaran semula pakatan perdagangan dan momentum transformasi digital yang berterusan.
“Namun, di sebalik ketidaktentuan ini, ASEAN terus berada di barisan hadapan sebagai lambang daya tahan, kestabilan dan peluang yang dapat dimanfaatkan bersama,” katanya.
-- BERNAMA
