Kerjasama Malaysia-Timor-Leste Sokong Visi Ketersambungan Asia Tenggara - Fahmi
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste menyokong visi serantau untuk mewujudkan Asia Tenggara yang lebih terhubung, bersatu dan progresif, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Hal ini susulan langkah kedua-dua negara menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan media.
Beliau berkata menerusi kerjasama ini, Malaysia dan Timor-Leste akan berkongsi pengetahuan, bertukar-tukar kepakaran dan meneroka peluang untuk mempertingkat sektor telekomunikasi masing-masing demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Sistem komunikasi yang boleh dipercayai merupakan tunjang kehidupan moden, menghubungkan komuniti, menyokong pendidikan, membuka peluang ekonomi dan mendekatkan masyarakat antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.
MoU pertama ditandatangani antara Fahmi dan Menteri Pengangkutan serta Komunikasi Timor-Leste Miguel Marques Gonçalves Manetelu bagi kerjasama dalam bidang telekomunikasi diikuti MoU kedua mengenai pembangunan maklumat dan media antara Fahmi dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi berkata MoU pertama menekankan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh infrastruktur komunikasi serta memantapkan kerjasama dalam sektor penting itu.
Beliau berkata pengendali rangkaian mudah alih utama Malaysia iaitu CelcomDG, Maxis, TM dan U Mobile telah berjaya melaksanakan perkhidmatan perayauan data 4G di Timor-Leste, yang berkuat kuasa pada 17 Okt lepas.
“Pencapaian ini dimungkinkan hasil kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Komunikasi Nasional Timor-Leste (ANC) serta pengendali tempatan iaitu Telkomsel, Telemor serta Timor Telekom,” katanya.
Menyentuh mengenai MoU kedua, Fahmi berkata Malaysia dan Timor-Leste akan berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam bidang perkongsian berita, pembangunan kapasiti dan latihan profesional bagi pengamal media.
Beliau berkata media yang mantap dan bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, mempromosikan ketelusan serta memupuk kefahaman antara negara, dan kerjasama ini juga dijangka menggalakkan perkongsian cerita yang menonjolkan budaya, pencapaian dan aspirasi bersama rakyat kedua-dua negara.
Sementara itu, Miguel Manetelu dalam ucapannya berkata penandatanganan MoU dengan Malaysia akan membantu Timor-Leste memperkukuh infrastruktur telekomunikasinya serta merapatkan jurang digital bagi rakyat negara tersebut.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa pengalaman Malaysia dalam memajukan ketersambungan digital akan menjadi sumber inspirasi kepada usaha Timor-Leste membangunkan ekonomi yang berdaya tahan dan berteraskan teknologi.
“MoU ini membuka laluan bagi kerjasama menyeluruh yang membolehkan kami memperluas pengetahuan, menambah kepakaran teknikal serta memperkukuh kapasiti institusi dan rakyat kami,” katanya.
Pada masa sama, Expedito Ximenes berkata MoU dalam bidang komunikasi sosial mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam kewartawanan, pertukaran media dan komunikasi awam.
Beliau berkata kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang untuk latihan, perkongsian pengetahuan serta memperkukuh pemahaman budaya antara institusi media.
“Sejak kemerdekaan Timor-Leste dikembalikan pada 2002, Malaysia telah menjadi rakan yang boleh diharap dan sentiasa menyokong, berkongsi visi kami untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, bermaklumat dan saling berhubung. Hari ini, kami menegaskan semula persahabatan dan kepercayaan bersama itu,” katanya.
-- BERNAMA
