PM Kanada Mark Carney Tiba Di Malaysia Untuk Sidang Kemuncak ASEAN

26/10/2025 01:07 AM

SEPANG, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney tiba di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan bermula esok di Kuala Lumpur.

Pesawat khas yang membawa Carney dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.45 malam ini.

Beliau disambut oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta diberi kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ini merupakan lawatan pertama Carney ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada Mac.

Beliau diiringi isteri Diana Fox Carney serta Menteri Perdagangan Antarabangsa Maninder Sidhu dan pegawai kanan kerajaan.

Carney akan menghadiri sidang kemuncak itu sebagai Tetamu Pengerusi atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau akan turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar dan perbincangan dijangka tertumpu pada pengukuhan hubungan Malaysia–Kanada, melakarkan hala tuju baharu untuk kerjasama masa depan dan meneroka peluang dalam perdagangan dan pelaburan, kerjasama halal, kerjasama tenaga, keselamatan siber dan ketersambungan rakyat dengan rakyat.

Terdahulu, pesawat yang membawa Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone mendarat di sini pada 8.21 malam manakala Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong tiba pada 10.17 malam.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva dan Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) Carlos Filipe Jaramillo turut tiba pada 10.30 malam.

 Sementara itu, ketibaan pemimpin asing dijangka berterusan sehingga awal pagi termasuk Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính dan isteri Lê Thị Bích Trân, yang dijadualkan tiba pada 1.30 pagi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres akan tiba bersama Chính menaiki penerbangan yang sama dari Hanoi.

-- BERNAMA