Lebih Ramai Pemimpin Dunia Tiba Untuk Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
SEPANG, 25 Okt (Bernama) -- Lebih ramai pemimpin dunia dan serantau terus tiba di Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan bermula secara rasmi esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Antara yang tiba ialah Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.
Pesawat membawa beliau mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2.55 petang dan ketibaan beliau kemudian disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Marcos Jr dijadualkan menyaksikan penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina yang merupakan satu daripada acara utama sidang kemuncak berkenaan serta pemeteraian beberapa perjanjian utama termasuk Deklarasi Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.
Presiden Majlis Kesatuan Eropah Antonio Costa turut tiba petang ini yang merupakan lawatan pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan dan ketibaan beliau disambut Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Costa akan menyertai sidang kemuncak berkenaan sebagai Tetamu Pengerusi.
Terdahulu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan isteri, Dr Pich Chanmony turut tiba di Kompleks Bunga Raya petang tadi dengan disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula esok hingga Selasa, menghimpunkan pemimpin ASEAN dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea Selatan.
-- BERNAMA
