Konflik Sempadan Thailand-Kemboja, Kemasukan Timor-Leste Antara Tumpuan Utama Mesyuarat ASEAN Hari Ini

Datuk Seri Mohamad Hasan
26/10/2025 12:33 AM

Oleh AISHA HANI NOR AZMIR

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual bermula esok, perbincangan mengenai konflik sempadan Thailand-Kemboja serta kemasukan Timor-Leste ke dalam Piagam ASEAN muncul sebagai antara tumpuan utama pada hari ketiga mesyuarat ASEAN.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas mempengerusikan beberapa mesyuarat termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-30 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-37 berkata ASEAN akan meneruskan perbincangan mengenai penempatan pemerhati ke Myanmar sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menangani krisis di negara itu.

Beliau menegaskan bahawa blok serantau itu kekal berpandukan Konsensus Lima Perkara dalam usaha mencapai keamanan dan kestabilan di Myanmar, sambil menambah bahawa para menteri turut membincangkan pelanjutan mandat Utusan Khas ASEAN bagi memastikan kesinambungan penglibatan dalam isu berkenaan.

Mengenai situasi sempadan Thailand-Kemboja, Mohamad berkata penarikan balik senjata berat dan kerja-kerja pembersihan bahan letupan termasuk periuk api merupakan elemen utama dalam perjanjian gencatan senjata yang dijangka dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Perjanjian itu turut akan menubuhkan Pasukan Pemerhati ASEAN bagi memantau kawasan sempadan, mengekalkan gencatan yang telah berlangsung sejak Julai lepas susulan persetujuan antara perdana menteri kedua-dua negara ketika itu untuk menghentikan persengketaan.

Mohamad berkata ASEAN berharap gencatan itu akan terus kekal dan menggesa kedua-dua negara meneruskan dialog serta berusaha mencari penyelesaian aman terhadap isu penandaan sempadan mereka.

Mengenai kemasukan Timor-Leste, beliau menyifatkan detik itu sebagai peristiwa bersejarah yang menandakan peluasan skop ASEAN untuk merangkumi semua negara berdaulat di Asia Tenggara apabila Timor-Leste menyerahkan surat cara penerimaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Negara itu akan secara rasmi disambut sebagai anggota penuh menerusi majlis menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok.

Negara terakhir yang menyertai ASEAN sebelum Timor-Leste ialah Kemboja, yang menjadi anggota ke-10 pada 30 April 1999.

Sementara itu, Finland mengulangi semula komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN selepas menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) hari ini, menjadikannya negara ketiga menyertai perjanjian ASEAN semasa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 selepas Algeria dan Uruguay memeterainya pada Julai lepas.

Menteri Luar Finland Elina Valtonen mengesahkan komitmen negaranya itu di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC di sini.

Terdahulu, Mohamad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN (AMM-AEM).

Menurut Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, para menteri ASEAN bagi urusan luar dan ekonomi mencadangkan agar pegawai mereka meneliti cadangan untuk menjadikan Mesyuarat AMM-AEM sebagai sesi tahunan tetap yang diadakan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN.

Pada mesyuarat itu, Mohamad berkata ASEAN mesti bersuara dengan satu nada yang jelas dan bersatu dalam menghadapi persaingan kuasa global serta ketidaktentuan ekonomi, sambil menekankan tekad rantau ini untuk bertindak secara bersepadu dalam mengemudi peralihan kuasa, penyusunan semula rantaian bekalan serta pertindihan yang semakin meningkat antara bidang teknologi, keselamatan dan ekonomi.

Dari segi ekonomi, Tengku Zafrul berkata Malaysia optimis untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat minggu depan susulan perbincangan berterusan antara kedua-dua kerajaan mengenai tarif timbal balik dan langkah pemudahcaraan perdagangan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer, Menteri Perdagangan Afrika Selatan Parks Tau serta syarikat ByteDance (TikTok) Asia Tenggara.

Tengku Zafrul dan Naib Menteri Pembangunan, Industri, Perdagangan dan Perkhidmatan Brazil, Marcio Fernando Elias Rosa, turut bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam industri semikonduktor.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Satvinder Singh berkata semasa berucap di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025, Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkat dijangka mencapai tahap keterbukaan lebih 99 peratus dalam aliran perdagangan serantau.

Beliau berkata negara anggota dijangka menandatangani versi dipertingkat ATIGA itu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

-- BERNAMA