Kemasukan Timor-Leste Dalam ASEAN Kemenangan Rakyat - Freitas
Oleh R.Vikneswaran dan Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN menandakan pencapaian bersejarah bagi negara yang memiliki 1.4 juta penduduk itu, selepas lebih sedekad berusaha mendapatkan keanggotaan penuh, kata Menteri Luarnya Bendito dos Santos Freitas.
Beliau berkata penyertaan dalam ASEAN akan memberikan Dili suara yang lebih berpengaruh dalam bidang politik, diplomasi dan hal ehwal luar di peringkat serantau.
“Jadi, kita kini semakin bersatu sebagai sebuah rantau, sebagai satu keluarga ASEAN. Kami berterima kasih kepada Malaysia atas sokongan diberikan selaku pengerusi ASEAN 2025, serta kepada negara anggota lain,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-37 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menyifatkan perkara itu sebagai “kemenangan untuk rakyat”, Freitas berkata pencapaian berkenaan melambangkan kemuncak perjuangan negara itu selama lima dekad untuk menentukan nasib sendiri.
“Ia amat penting. Selepas 50 tahun bagi kami, iaitu kami telah berjuang untuk kebebasan kami. Ini bukan hadiah, sekaliknya benar-benar hasil daripada perjalanan panjang untuk mencapainya,” katanya.
“Hari ini kami memperolehinya. Ini kemenangan bagi kami, bagi rakyat kami dan juga keluarga ASEAN.
Terdahulu, Timor-Leste secara rasmi menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), sekali gus mengesahkan penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 badan serantau berkenaan.
Timor-Leste akan secara rasmi menjadi anggota penuh menerusi penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan esok.
Sebelum Timor-Leste, negara terakhir menyertai ASEAN ialah Kemboja yang diterima sebagai anggota ke-10 pada 30 April 1999.
Timor-Leste memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002 susulan referendum yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1999.
Negara berkenaan secara rasmi memohon menjadi anggota ASEAN pada 2011, mencerminkan aspirasi Timor-Leste untuk menjadi sebahagian komuniti serantau.
Pada November 2022, negara anggota ASEAN bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste dan diberikan status pemerhati berdasarkan Pelan Tindakan Berstruktur ke arah keanggotaan penuh.
-- BERNAMA
