Zapin ASEAN Warnai BoAPA 2025, Simbol Penyatuan Budaya Serantau
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Persembahan Zapin ASEAN yang diinspirasikan daripada tarian tradisional Zapin Hanuman bakal menjadi tarikan utama dalam program The Best of ASEAN Performing Arts (BoAPA) 2025 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sekali gus menjadi jambatan budaya yang menyatukan bangsa serantau.
Penyelaras program BoAPA 2025 Lydia Irffian Mohd Isa berkata edisi kali ini membawa kelainan apabila buat julung kali menampilkan 44 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun dari 10 negara ASEAN serta Timor-Leste, berbanding sebelum ini yang hanya menampilkan peserta dewasa.
“BoAPA 2025 bertemakan ASEAN Cultural Seed: Nurturing Cultural Leaders, memberi tumpuan kepada generasi muda sebagai pewaris dan pemimpin budaya masa depan,” katanya ketika ditemui Bernama pada sesi raptai di Auditorium Seri Angkasa, RTM di sini hari ini.
Beliau berkata BoAPA 2025 dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Pertubuhan Anak Seni Malaysia (PASMA). Ia merupakan program tahunan simbolik yang dianjurkan sempena Kepengerusian ASEAN sesebuah negara.
Konsep Zapin Hanuman, katanya dipilih kerana mencerminkan semangat kebersamaan dan warisan budaya yang dikongsi negara anggota ASEAN.
"Sebagai negara Nusantara, kita mempunyai persamaan dalam budaya dan penceritaan, contohnya Epik Ramayana dan Epik Hanuman antara naratif paling dekat dengan semua negara ASEAN. Dari situlah dicipta satu tarian yang akan memberikan kelainan sekali gus menyatukan anak-anak ASEAN di dalam BoAPA 2025," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PASMA Arizah Mohd Yusoff berkata daripada 44 peserta, kesemua 22 peserta tempatan yang berusia 12 tahun dan ke bawah dipilih melalui uji bakat dijalankan di sekitar ibu negara dan Putrajaya.
“Penyertaan dalam BoAPA 2025 memberi peluang kepada peserta, khususnya anak-anak tempatan untuk tampil di pentas antarabangsa dan di hadapan ketua-ketua negara ASEAN, selain memahami tentang persidangan ASEAN dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata cabaran utama dalam menguruskan peserta antarabangsa ialah kekangan bahasa memandangkan kebanyakan peserta berusia 13 tahun ke bawah dan kurang fasih berbahasa Inggeris, namun semangat dan kreativiti seni menjadi bahasa sejagat yang menyatukan mereka.
Peserta dari Filipina, Enrique Paolo A. Herrera, 14, dan Yzeiah Jamila A. Ringor, 14, berkongsi rasa teruja kerana berpeluang membuat persembahan di luar negara buat kali pertama.
“Kami sangat gembira dapat berada di sini (menyertai BoAPA 2025). Memang kami gementar, namun ini peluang yang amat berharga untuk kami menjadi sebahagian daripada BoAPA 2025 di Malaysia, sebuah negara sangat indah,” kata Enrique.
Peserta dari Singapura Zhang Ziyi, 12, turut meluahkan keterujaannya menyertai persembahan berprestij itu : “Ini pengalaman pertama saya membuat persembahan di peringkat antarabangsa di luar Singapura. Menerusi persembahan ini, saya berpeluang mempelajari pelbagai jenis tarian termasuk Zapin Hanuman.
“Sebelum ini saya hanya membuat persembahan tarian balet dan tarian Cina, jadi pengalaman kali ini benar-benar memberi pendedahan sangat bernilai kepada kami,” katanya.
Persembahan BoAPA 2025 akan berlangsung esok di Auditorium Seri Angkasa, RTM dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2, manakala persembahan kedua pada 27 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di hadapan delegasi dan pemimpin dunia.
-- BERNAMA
