Kesepakatan ASEAN Ditingkatkan Melalui DEFA Pada 2026, Capai Kemajuan Lebih 70 Peratus
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- ASEAN yakin dapat menyelesaikan usaha boleh laksana ke arah pemuktamadan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) tepat masanya pada 2026, yang akan mengukuhkan peranan rantau ini dalam membentuk ekonomi digital global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ASEAN menyasar untuk memuktamadkan sebahagian besar rundingan DEFA pada tahun ini dan memeterainya tahun depan.
“Setakat ini, kita telah mencapai lebih 70 peratus (kemajuan rundingan),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Sesi Khas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) mengenai DEFA di sini, hari ini.
Beliau berkata Sesi Khas AECC mengenai DEFA menyediakan platform yang tepat pada masanya untuk negara anggota menilai kemajuan rundingan DEFA.
Selain itu, perkara lebih utama adalah bagi membincangkan dua isu penting yang memerlukan panduan dasar, katanya.
“Isu tersebut adalah berkaitan layanan terhadap duti kastam bagi penghantaran elektronik dan pelaksanaan komitmen perkhidmatan kewangan berhubung lokasi kemudahan pengkomputeran,” katanya.
Tengku Zafrul berkata ASEAN juga akan menerima maklumat terkini berkenaan dengan pelan kerja ke arah pemuktamadan DEFA sepenuhnya pada 2026, yang akan berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik bagi usaha bersama rantau ini yang berterusan.
“Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan DEFA ke-14 yang diadakan awal bulan ini, saya gembira dengan kemajuan yang konsisten dan ketara yang telah dicapai sejak sesi khas pertama kita pada 28 Ogos, 2025.
“Kerja berterusan Jawatankuasa Rundingan mencerminkan komitmen bersama kita untuk melaksanakan DEFA sebagai antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berkata suatu yang menggembirakan apabila melihat kesepakatan yang semakin kukuh antara negara anggota ASEAN mengenai beberapa bab berkaitan DEFA, didorong oleh penyelarasan yang lancar oleh Jawatankuasa Rundingan DEFA serta sokongan penting daripada Sekretariat ASEAN.
Tengku Zafrul berkata bagaimanapun, isu yang dihadapi rantau ini masih kompleks dan memerlukan panduan strategik serta hala tuju politik untuk memastikan rundingan dapat diteruskan dengan cara yang seimbang, pragmatik dan berpandangan jauh.
“DEFA bukan sahaja mengenai usaha mempercepat inovasi dan perdagangan digital, malah juga memastikan keterangkuman serta penyertaan yang adil,” katanya.
Beliau berkata usaha itu supaya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat pemula niaga dan komuniti di seluruh ASEAN dapat menikmati sepenuhnya manfaat daripada ekosistem digital yang dipercayai, selamat dan boleh saling kendali.
“Dalam semangat ini, marilah kita berpegang kepada prinsip ASEAN iaitu konsensus, keterangkuman dan manfaat bersama, di samping kekal berani serta berpandangan jauh dalam cita-kita kita untuk merealisasikan DEFA yang berkualiti tinggi dan sedia masa depan, yang mencerminkan daya dinamik serta kepelbagaian rantau kita,” katanya.
Sesi Khas AECC mengenai DEFA, dianjurkan Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri, diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Okt, 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
-- BERNAMA
