Timor-Leste Fokus Tingkatkan Diplomasi, Ekonomi Sebagai Anggota Baharu ASEAN
SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Timor-Leste menyasar untuk memperkukuh diplomasi dan pertumbuhan ekonomi sejajar dengan persediaannya untuk menjadi anggota baharu ASEAN secara rasmi.
Menteri Luar dan Kerjasama Bendito dos Santos Freitas berkata negara itu berasa bangga apabila akhirnya menjadi sebahagian daripada keluarga ASEAN, sekali gus menganggap ia sebagai langkah penting ke arah kerjasama yang lebih mendalam dengan semua negara anggota.
“Kami berkongsi kegembiraan ini kerana ia adalah hasil perjuangan panjang untuk kemerdekaan kami, dan tahun ini, kami menyambut 50 tahun perjuangan itu dengan secara rasmi menyertai keluarga ASEAN.
“Saya percaya perkembangan ini sangat penting bagi kami untuk meningkatkan tahap diplomasi, pertumbuhan ekonomi, di samping memperkukuh kerjasama erat dengan semua negara anggota,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak berkaitan hari ini.
Mengulas lanjut, Freitas berkata sebagai sebuah negara terbaharu, Timor Leste juga akan memanfaatkan platform ASEAN untuk melonjakkan rantau ini dan kesedaran mengenai isu kemanusiaan di peringkat global.
“(Kami ingin) menyuarakan kepentingan kami dalam arena antarabangsa, diplomasi, urusan luar negara dan juga menangani isu kemanusiaan secara bersama sebagai suara keluarga ASEAN,” kata beliau.
Timor-Leste akan secara rasmi menjadi ahli ASEAN pada 26 Oktober ini.
Pada Rabu (22 Okt), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan sokongan padu Malaysia terhadap penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN, menyifatkan ia langkah wajar dan tepat untuk negara muda itu menyertai blok serantau.
Anwar berkata Timor-Leste, yang sekian lama mengambil bahagian dalam hal ehwal serantau semasa berada di bawah Indonesia, telah membuktikan kesungguhan dan ketekunan, dan kini berhak menikmati manfaat daripada kemajuan kolektif ASEAN.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan India.
Ia dijangka menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhannya pada 1967, dengan kehadiran pemimpin global seperti Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN, selepas mengetuainya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
