PM Thailand Adakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia Esok
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia esok atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Luar memaklumkan ini merupakan lawatan rasmi pertama Anutin ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan pada September lepas.
“Anutin akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, disusuli dengan mesyuarat dua hala dengan Anwar,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Semasa pertemuan berkenaan, kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala, meneroka potensi kerjasama baharu dan bertukar-tukar pandangan terhadap isu-isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Usai lawatan rasmi berkenaan, Anutin dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Sidang kemuncak berkenaan yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN dan rakan luar utama bagi memperkukuh kerjasama serantau, keterangkuman dan kemampanan.
Menurut Kementerian Luar, lawatan berkenaan juga adalah sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat Perdana Menteri tahun ini susulan lawatan kerja Anwar ke Bangkok, Thailand dari 17 hingga 19 April lepas.
“Lawatan ini mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua-dua negara selaku jiran tetangga dan negara anggota ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Pada 2024, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM114.56 bilion (USD25.03 bilion).
Dari Januari hingga Ogos 2025, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM77.52 bilion (USD17.88 bilion), berbanding RM76.95 bilion (USD16.45 bilion) dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, di BANGKOK, Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand (MFA) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan lawatan rasmi Anutin bertujuan memperkukuh kerjasama dan mempererat hubungan antara kedua-dua negara.
Menurut MFA, mesyuarat dua hala Anutin dan Anwar akan menumpukan kepada usaha meningkatkan kerjasama dalam keselamatan sempadan dan ketersambungan, menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta memajukan usaha bersama untuk merangsang pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk di wilayah sempadan selatan Thailand.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan dalam hal berkaitan isu serantau dan antarabangsa, selain mengenai kerjasama dalam ASEAN di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Lawatan berkenaan menunjukkan betapa pentingnya kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama yang telah lama terjalin serta menggalakkan hubungan lebih erat demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama rantau ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
